View: 1821|Reply: 0
|
[SEJARAH]
Perjanjian Sungai Ujung 1874
[Copy link]
|
|
Perjanjian Sungai Ujung 1874
21 April 1874 – Pada tahun 1874, Dato’ Kelana Abd. Rahman Sungai Ujung dan Dato’ Muda Linggi telah menandatangani perjanjian menerima perlindungan British ke atas Sungai Ujung di hadapan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke di Singapura sebagai ganjaran pihak British mengakui beliau (Dato’ Kelana) sebagai pemerintah Sungai Ujung.
Perjanjian ini adalah usaha terakhir Dato’ Kelana Sungai Ujung untuk menamatkan perbuatan menyekat dan mengenakan cukai secara paksa oleh pihak-pihak yang sukar diketahui ke atas pedagang-pedagang yang menggunakan Sungai Linggi. Dato’ Kelana Abd. Rahman yang menemui kesukaran untuk menamatkan perbuatan itu telah meminta bantuan senjata dan anggota untuk menghadapi pemungut-pemungut cukai di Sungai Linggi itu.
Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman juga yang sebenarnya memang perlukan bantuan pihak yang lebih kuat untuk menghadapi Yamtuan Antah Seri Menanti, dan membantu Tuanku Ahmad Tunggal. Tuanku Ahmad Tunggal telah tidak dilantik oleh Orang-orang Besar menggantikan ayahandanya Yamtuan Imam yang baru mangkat (1872) sebaliknya Orang-orang Besar melantik sepupunya Tuanku Antah sebagai Raja Negeri Sembilan.
Tuanku Ahmad Tunggal yang tidak terpilih sebagai Raja itu telah meninggalkan Seri Menanti dan menemui Dato’ Kelana Sungai Ujung yang bersimpati dengannya. Tuanku Ahmad Tunggal berjanji akan mengangkat salah seorang anak Dato’ Kelana menjadi Yamtuan Muda Rembau sekiranya ia berjaya menjadi Raja Negeri Sembilan.
Di samping itu Dato’ Kelana juga menghadapi tentangan dari Dato’ Bandar yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu. Bagaimanapun, Dato’ Bandar yang sudah tua itu tidak berdaya menghadapi kekuatan British dan terpaksa bersetuju tidak mencampuri hal ehwal Sungai Ujung melalui satu perjanjian pada 16hb Disember, 1874, dan pada 21hb Disember menyerah diri kepada Kerajaan British di Singapura.
Ketika ini British yang telah memerintah Melaka mula memasang jarum pengaruhnya di Sungai Ujung. Mereka telah berjaya mempengaruhi Dato’ Kelana dan berjanji akan membantunya menyerang Seri Menanti dengan berselindung untuk menolong Tuanku Ahmad Tunggal merebut takhta Kerajaan Negeri Sembilan yang menjadi haknya.
Akhirnya berlakulah peperangan yang sengit di antara Seri Menanti dengan Sungai Ujung yang dibantu oleh British. Peperangan ini berlaku di Bukit Putus dan terkenal dengan Peperangan Bukit Putus. Dalam peperangan ini Seri Menanti telah kalah di tangan tentera British yang diketuai oleh Captain Murry. Tuanku Antah melarikan diri hingga ke Johor.
Dengan kekalahan Seri Menanti itu maka Dato’ Kelana Sungai Ujung, Dato’ Rembau dan Dato’ Jelebu pun mengisytiharkan diri mereka bebas dan menjadi Penghulu di Luak masing-masing, dan tidak mengakui beraja ke Seri Menanti lagi. Dengan itu mudahlah British menyalurkan kuasa dan pengaruhnya ke ketiga-tiga Luak itu yang akhirnya terus berkuasa.
Melalui perjanjian ini pihak British bersetuju memberi bantuan senjata dan anggota dan juga perlindungan kepada Dato’ Kelana dengan syarat senjata-senjata itu tidak digunakan selain dari untuk mengekal dan mengawal keamanan serta kepentingan perdagangan.
Dato’ Kelana juga dikehendaki memberi maklumat-maklumat penting kepada pihak British mengenai perkembangan-perkembangan politik dan perdagangan di Sungai Ujung dan pihak British pula berkuasa penuh ke atas daerah Sempang dan kedua-dua tebing sungai di sepanjang Sungai Linggi dan Sempang hingga ke Permatang Pasir.
Perlindungan ini akan terus berlaku selagi Dato’ Kelana tidak berbuat sesuatu yang menyalahi kehendak-kehendak perjanjian. Ini adalah merupakan langkah pertama campur tangan British di Sungai Ujung. Dengan menggunakan perjanjian itu pihak British telah campur tangan sepenuhnya pada bulan Oktober 1874 apabila Kapten Tathan R.N. dilantik sebagai Penolong Residen, Sungai Ujung.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|