Sebuah syarikat pembekal makanan di negeri Utah, JBS Foods menawarkan 2.2 kilogram daging lembu percuma bersama peluang memenangi bekalan daging sepanjang tahun kepada orang ramai yang hadir untuk divaksin di salah satu daripada dua pusat vaksinasi Covid-19 di bandar Hyrum, demikian menurut saluran berita KUTV kelmarin.
Kerajaan negeri Utah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Sungai Bear dan kilang memproses daging lembu di Hyrum untuk melancarkan kempen tersebut yang bermaksud ‘Peluang Mendapatkan Bekalan Daging Percuma Selama Setahun.’
JBS Foods menawarkan 2.2 kilogram daging lembu percuma bersama peluang memenangi bekalan daging sepanjang tahun buat mereka yang hadir untuk divaksin. - Getty Images
Selain inisiatif daging lembu percuma, seorang pemenang daripada setiap pusat vaksinasi tersebut akan menerima daging lembu, daging babi dan unggas percuma selama setahun untuk kapasiti empat sekeluarga.
“Setiap vaksin Covid-19 yang diterima akan membantu menjaga keselamatan anggota pasukan dan komuniti kita.
“Cabutan bertuah ini adalah insentif besar untuk mendorong semua orang untuk keluar dan melakukan tanggungjawab mereka untuk membantu menghentikan wabak Covid-19,” kata pengurus kilang JBS Hyrum, Darren Olsen dalam satu kenyataan.
Inisiatif tersebut susulan idea dan usaha JBS untuk melihat 70 peratus kakitangannya di Utah mendapat pelalian Covid-19 iaitu setara dengan tenaga kerja JBS Hyrum di 83 kilang lain miliknya di Amerika Syarikat. Syarikat itu memiliki 66,000 pekerja.
Daripada syarikat swasta hinggalah kepada agensi kerajaan dan universiti, ramai pemimpin tempatan menggunakan pelbagai insentif untuk menggalakkan orang ramai yang masih keberatan untuk tampil mendapatkan pelalian Covid-19.
Sebelum ini, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio menawarkan wang tunai AS$100 (RM424) kepada warga kota yang hadir untuk mendapatkan pelalian di beberapa pusat vaksinasi di New York.
Sumber: Kosmo |