[size=0.8]Hidayatidayu Razali - Ogos 19, 2021 @ 10:06pm[email protected]
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyampaikan sumbangan serta-merta RM50,000 kepada Kedah sebagai bantuan bencana.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan menerusi Tabung Serambi Makkah itu juga sebagai tanda solidariti dan kebersamaan Kelantan dengan Kedah.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa banjir kilat dan fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda, dekat Kedah, petang semalam.
"Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, Kelantan bersetuju menyampaikan sumbangan RM50,000 melalui Tabung Serambi Makkah kepada kerajaan Kedah sebagai bantuan bencana yang berlaku di saat penularan pandemik COVID-19 masih tinggi.
"Semoga usaha pasukan penyelamat dipermudahkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.
"Sama-sama kita doakan agar mangsa yang hilang, ditemui dan usaha pemulihan di kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan sebaiknya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Media melaporkan, dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai dilanda banjir besar dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air berpunca dari puncak gunung berkenaan.
Setakat petang tadi, empat mangsa ditemukan maut, manakala banyak kediaman termasuk beberapa sekolah mengalami kerosakan akibat dilimpahi selut tebal.