[size=0.8]Oleh Ramli Ibrahim - Ogos 23, 2021 @ 11:57am[email protected]
PERANGKAP dipasang di kawasan ladang sawit FELDA Perasu di Gua Musang, Kelantan untuk menangkap harimau, sebaliknya memerangkap beruang. - Foto RAMLI IBRAHIM
GUA MUSANG: Peneroka FELDA Perasu, dekat sini, merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap tambahan untuk menangkap harimau yang didakwa bebas berkeliaran di kawasan rancangan tanah berkenaan.
Ia berikutan satu perangkap yang dipasang dua bulan lalu masih gagal menangkap hidupan liar berkenaan, sebaliknya memerangkap haiwan lain.
Peneroka, Mohd Zain Hassan, 74, berkata perangkap yang dipasang jabatan terbabit untuk menangkap harimau, dimasuki beruang lebih seminggu lalu.
"Jadi, kebimbangan peneroka belum berakhir. Sejak harimau itu ditemui berkeliaran di sini lima bulan lalu, kami di sini takut keluar malam.
"Walaupun belum berlaku kejadian tidak diingini, semua peneroka bimbang dengan keselamatan. Apapun, kami bersyukur kerana beruang yang pernah memusnahkan pokok kelapa peneroka sebelum ini berjaya ditangkap," katanya, hari ini.
Seorang lagi peneroka, Sulaiman Yusoff, 67, berkata dia yang selalu berada di ladang sawit sentiasa cemas dengan kemungkinan ancaman harimau, sekali gus terpaksa memendekkan masanya di ladang.
"Saya hanya berada di ladang separuh hari kerana bimbang terserempak haiwan liar itu. Biasanya, harimau dilihat berkeliaran lewat petang hingga malam termasuk juga di sekitar kediaman peneroka.
"Kami memang harap PERHILITAN dapat memasang lebih banyak perangkap supaya haiwan berkenaan berjaya ditangkap," katanya.