[size=0.8]Oleh Syaherah Mustafa - Ogos 24, 2021 @ 4:24pm[email protected]
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan menambah katil di wad termasuk unit rawatan rapi (ICU) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), susulan peningkatan kes.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya juga merancang membuka PKRC Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, termasuk menyediakan 50 katil, jika peningkatan kes masih berterusan.
Katanya, ada kemungkinan jangkitan bertambah kerana sambutan Aidiladha, selain musim buah-buahan yang menyebabkan orang ramai berkumpul.
"Insya-Allah dengan kesiapsiagaan yang dilakukan, kita boleh berdepan dengan peningkatan kes di negeri ini. Kita masih berharap semua pihak bekerjasama bagi menangani penularan wabak.
"Kita juga mengambil langkah dengan membawa pesakit yang hampir sembuh di hospital untuk dipindahkan ke PKRC, supaya wad dapat menampung individu lain yang memerlukan rawatan di hospital," katanya ketika ditemui selepas melawat PKRC Gelanggang Seni, di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, setakat ini masih ada lebih 200 kluster di Kelantan, termasuk kluster komuniti yang wujud susulan masih terdapat masyarakat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), seperti tidak memakai pelitup muka dan mengambil mudah penjarakan fizikal.
"Begitu juga dengan amalan ziarah menziarahi yang turut dikategorikan dalam kluster komuniti. Masyarakat seharusnya peka dan mengambil iktibar melalui peningkatan kes yang tinggi hari ini.
"Setakat kita masih dapat mengurus situasi dengan baik melalui tenaga serta kemudahan yang ada. Kita tidak mahu sekiranya ada peningkatan mendadak, tetapi masih dalam keadaan tidak bersedia," katanya.
Hari ini, Kelantan merekodkan 1,422 kes COVID-19.
Petugas kesihatan memeriksa pesakit yang di PKRC Gelanggang Seni, Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR