Hospital USM rayu orang ramai derma darahOgos 29, 2021 @ 1:12pm
KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) merayu orang ramai tampil menderma darah berikutan penurunan bilangan penderma, susulan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah Hospital USM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata kebimbangan masyarakat terhadap aspek keselamatan sepanjang proses menderma darah, selain pembatalan kempen derma darah oleh penganjur, turut menjadi penyebab kekurangan penderma darah.
Beliau bimbang, jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan keupayaan dalam merawat pesakit.
"Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital USM menjalankan pelbagai inisiatif bagi menarik penderma darah tampil menderma.
"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti menderma darah kerana ia dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan selaras dengan garis panduan antarabangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Sukari berkata, saringan awal akan dilakukan ke atas bakal penderma yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan COVID-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari.
"Petugas kesihatan juga akan memastikan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengisi borang deklarasi risiko COVID-19 Kampus Kesihatan serta mencuci tangan menggunakan sanitasi sepanjang berada di lokasi," katanya.
UPT Hospital USM dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 5 petang, dengan tempat meletak kenderaan turut dikhaskan kepada penderma darah. – BERNAMA
|