Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin ( 1812 - 1888 ) merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang keenam. Memerintah dari 1869 - 1888 dan memperjuangkan Negeri Sembilan daripada dijajah oleh British pada tahun 1876. Merupakan ayahanda Yamtuan Radin dan mempunyai anakhanda yang memodenkan Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhammad Shah.
Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama dilantik di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan. Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka.
Hari berikutnya memperlihatkan Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol. Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan huubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.
Pada pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayahnya miliknya iaitu Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah. Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun yang sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana. Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana mengganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang.
Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hixman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan seorang jurubahasa Australia bernama Dominic Daly ke Terachi, tetapi tidak mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu. Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong. Daly ketakutan, dia segera minta bantuan kepada Murray di Sungai Ujong dan Residen itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah.
Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan. Kebangkitan Yamtuan Antah untuk mengusir penjajah itu turut mendapat sokongan beberapa pembesar antaranya Datuk Siamang Gagap, Tunku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol.
Seterusnya, pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki dan menyeberang Bukit Putus untuk memasuki Paroi. Di situ, Yamtuan Antah mengutus surat amaran kepada Murray supaya tidak lagi menggangu kedaulatan Seri Menanti dan menceroboh Terachi. Murray yang ketakutan melihat kebangkitan penduduk dipimpin Yamtuan Antah segera meminta bantuan kepada Negeri-negeri Selat.
Keadaan British di Sungai Ujong semakin genting kerana mereka khuatir akan penduduk akan menyerang. Hinxman dan askar lain yang berada di Rasah, segera menggali parit dan membuat kubu pertahanan di sekeliling tapak perkhemahan tentera mereka.
Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah yang seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk. Dengan bantuan tambahan, Hinxman membawa satu pasukan perang seramai 30 askar, 30 polis dan 6 askar Arab dari Rasah untuk menyerang pasukan Yamtuan Antah di Paroi.
Bagaimanapun, sebaik sampai, pasukan British terlebih dahulu diserang penduduk menggunakan senapang. Bilangan penduduk tempatan lebih ramai daripada pasukan Hinxman menyebabkan musuh hampir dapat dikepung dan ditahan. Menyedari mereka akan kalah, askar British yang ketakutan segera melarikan diri dan balik ke Rasah. Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi.
Pada 5 Disember 1875, British semakin tertekan apabila pasukan diketuai Hinxman gagal merampas kembali Paroi. Mereka merancang serangan yang lebih hebat. Menggunakan meriam milik Datuk Kelana, mereka membedil tentera Yamtuan Antah. Pertempuran hebat menggegar bumi Paroi ketika itu. Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askarnya ditembak. Hinxman dan Peyton akhirnya bernekad untuk terus memusnahkan kubu pertahanan tentera Yamtuan Antah. Mereka membawa satu pasukan seramai 20 askar British dan Arab menuju ke kubu pertahanan Yamtuan Antah tetapi mereka tersesat jalan. Dalam kebingungan, mereka terus diburu askar tempatan.
Tunku Laksamana akhirnya dilantik sebagai Yamtuan Seri Menanti. Bantuan tambahan yang diminta Murray tiba di Sungai Ujong pada 8 Disember 1875. Diketuai Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Anson, lelaki asing itu tiba bersama pasukan perang terdiri daripa 350 askar British yang dibawa dari Melaka. Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi. Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah.
Selepas melepaskan 10 das meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur. Selepas pertempuran hebat itu, mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencedarakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula oleh British.
Pada 10 Disember 1875, bantuan British terus dibawa masuk iaitu pasukan askar Gurkha, seramai 250 orang beserta pegawainya seramai 32orang. Pasukan meriam daripada kapal perang HMS Thistle turut tiba di Sungai Ujong. Dengan kekuatan tentera itu, Leftenan Kolonal Clay iaitu Ketua Pemerintah Askar Sungai Ujong merancang menyerang Bukit Putus yang masih berada di bawah kekuasaan pengikut Yamtuan Antah, daripada pelbagai penjuru.
Pada 19 Disember 1875, satu pasukan perang diketuai Murray bertolak dari Sungai Ujong menuju Bukit Putus melalui Langkap. Clay pula mengetuai pasukan seramai 280 orang. Akhirnya berlaku pertempuran antara British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British. Selepas menawan Bukit Putus, Clay bersama pasukannya menuju ke Seri Menanti. Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meningggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor.
Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, Sultan Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British. Dengan pertolongan Sultan Johor ketika itu, pada Mei 1876, Yamtuan Antah memnbuat pertemuan dengan Gabenor Singapura iaitu William Jervois. Yamtuan Antah bersama empat pembesar dari daerah Seri Menanti, Johol dan Inas sekali lagi menemui Gabenor British di Singapura pada November 1876. Dalam pertemuan itu, pihak British memikirkan perkara yang adalah lebih baik berdamai dengan penduduk setempat bagi menunjukkan imej baik mereka. Lalu Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong di bawah kekuasaan British.
Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di bandar diraja itu hanya 11 tahun apabila pada 1888 beliau meninggal dunia dan beliau dimakamkan di Seri Menanti.