KLUANG: Seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang selepas terserempak pencuri di sebuah ladang kelapa sawit, di sini, kelmarin, ditemui terbaring di tepi jalan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Hassan Yunos, Renggam, malam tadi.
Bapa saudaranya, Adanan Baharudin, 61, berkata Muhammad Shahrizuan Pairon, 22, dijumpai berada dalam keadaan lemah oleh bapa mangsa, Pairon Baharudin, 56, kira-kira jam 11.30 malam.
Sambil bersyukur kerana anak saudaranya selamat, beliau berkata, Muhammad Shahrizuan ditemui Pairon ketika melalui jalan itu yang terletak kira-kira 12 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Adik saya bersama keluarga, termasuk isteri dan anaknya menaiki kereta dan menunggang motosikal ke lokasi Muhammad Shahrizuan dilaporkan hilang. "Setiba di jalan itu yang terletak bersebelahan rel kereta api, adik saya seakan perasan kelibat seseorang di tepi jalan.
"Hati Pairon terdetik untuk berpatah balik, dan memang betul anaknya sedang terbaring. Apabila ditanya apa yang berlaku, Muhammad Shahrizuan dilihat terpinga-pinga dan memberitahu sepanjang tempoh dia dilaporkan hilang, pandangannya gelap seperti waktu malam.
"Dia turut ingat bahawa ketika kejadian kelmarin, ada sebuah lori cuba melarikan diri di pintu pagar lalu dia mengejarnya.
"Bagaimanapun setiba di satu simpang, lori itu hilang dan dia cuba berpatah balik ke tempat kerjanya, namun tidak nampak jalan keluar," katanya kepada BH, hari ini.
Adanan berkata, yang menghairankan keluarga mereka ialah sepanjang tempoh kehilangan anak saudaranya itu, bateri telefon bimbit dan minyak motosikal Muhammad Shahrizuan didapati masih mempunyai banyak baki.
"Ketika ditemui, perkataan terpacul dari mulut Muhammad Shahrizuan ialah dia kelaparan dan mahu berehat," katanya.
Beliau sekali gus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu misi mencari dan menyelamat anak saudaranya itu.
Sebelum ini, Muhammad Shahrizuan dilaporkan hilang sejurus terserempak insiden kecurian tandan kelapa sawit di sebuah ladang di Layang-Layang, di sini, kelmarin.
Adanan dipetik berkata, Muhammad Shahrizuan sempat melaporkan kejadian berkenaan melalui WhatsApp kumpulan kerjanya pada jam 7.22 malam.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa dua rakan sekerja Muhammad Shahrizuan kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati pagar dirosakkan, namun palang pagar dalam keadaan tutup. -BH-
|