CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2788|Reply: 5

KERESAHAN BANG GURU

[Copy link]
Post time 4-6-2007 10:13 PM | Show all posts |Read mode
KERESAHAN BANG GURU
Dilema Seorang Ustaz Muda di Kampung Antah-berantah

(*Mengisahkan seorang ustaz muda berusia 25 tahun yang dipanggil Bang Guru. Nama asalnya Bani bin Bad. Kisah ini kononnya berlaku pada tahun 2003 di negeri Pahang, tapi ia hanyalah sebuah cerita penglipurlara. Bang Guru sering mengikuti kuliah-kuliah Ustaz Maszlee Malik, Hafiz Firdaus dan Dr. Asri. Begitulah adanya…)

Fikiran Bang Guru kacau! Anak-anak buahnya semakin berpecah! Ini memang sudah dijangkakan.

Bang Guru sedar… dakwah tajdidnya tidak akan sampai ke mana. Dia sedia maklum situasi di Timur Tengah. Dia faham senario di Amerika Syarikat. Dia tahu situasi di United Kingdom. Dia juga faham keadaan di Indonesia. Puak-puak tajdid berbalah sesama sendiri. Malah saling bidaah-membidaah, kufur-mengkufur dan sesat-menyesat sesama mereka. Hanya para pendokong Bang Guru sebelah sini saja yang masih terkinja-kinja mendokong dalam kejahilan kerana mereka menyangkakan dakwah tajdid salafi itu hanyalah yang dibawa oleh Bang Guru sahaja.

Sampai bila Bang Guru dapat menutup mata generasi muda bumi bersemenanjung ini daripada mengetahui itu semua? Sampai bila mereka dapat meyakini kata-kata Bang Guru bahawa merekalah kononnya satu golongan yang terselamat daripada tujuh puluh tiga golongan umat Islam?

Contoh terhampir di Indonesia. Dakwah tajdid sebagimana yang dicanangkan oleh Bang Guru sudah lama berkembang biak di sana, malah jauh lebih aktif dan punyai jutaan pendokong. Tapi…masing-masing mendakwa puaknyalah yang sunnah dan selamat.

Kalaulah para pemuda yang selama ini dijahilkan olehnya tahu dunia sebenar dakwah tajdid mereka… pasti berbondong-bondong mereka meninggalkan Bang Guru, bahkan akan ada yang memusuhi Bang Guru dan dakwah tajdidnya. Bang Guru akan mereka bidaahkan, padahal selama ini Bang Gurulah jaguhan membidaah nombor wahid. Bang Guru akan mereka sesatkan. Bang Guru akan mereka kufurkan.

Oh, tidak! Tidak! Bang Guru seakan tidak sanggup untuk berhadapan dengan ini semua. Tapi, selaju manapun lari Bang Guru, sebesar manapun pembohongan yang cuba disogok kepada masyarakat agar dakwah dan kedudukannya lebih terjamin… dia mesti juga berhadapan dengan kenyataan.

Peminat, pengikut dan pentaksub Bang Guru ramai juga. Ada yang bermuarakan Arab Saudi dan ada yang mendakwa bermuarakan Ibnu Taimiyah. Ini membuatkan kesepakatan agak longgar. Untuk mendapatkan simpati dan dokongan ahli-ahli ABIM, JIM, HALUAN dan ISMA, Bang Guru terpaksa mengorbankan sebahagian daripada pegangannya. Bang Guru terpaksa bersikap lunak dengan Ikhwanul Muslimin, dengan Syed Qutb, dengan Ramadhan al-Buti, dengan Timilsani dan lain-lain. Bang Guru menjadikan Qardhawi sebagai idolanya konon. Namun ini sedikit-sebanyak melonggarkan lagi kesepakatan antara para pendokong dakwah tajdidnya.

Rupa-rupanya ramai juga antara peminat, pengikut dan pentaksub Bang Guru yang menjadi ahli, petugas ataupun tukang simpati PAS. Bang Guru cukup resah. Perjuangan seperti perjuangan PAS memang bertentangan dengan dakwah tajdid yang dibawanya. Tapi apa yang boleh dibuatnya? Ada pula sebahagian pengikutnya yang terang-terangan memusuhi PAS dengan alasan PAS dikuasai fahaman Syiah. Orang-orang Bang Guru terpecah lagi.

Datang pula jemaah Hizbut Tahrir. Orang baru datang, mula-mula mereka buat rakanlah dengan orang-orang Bang Guru. Apabila mereka sudah berpengaruh, maka perbezaan mereka dengan tajdid Bang Guru disemai kepada ahli. Di Indonesia mereka berperang besar. Begitu juga di Timur Tengah. Hilang lagi orang-orang Bang Guru. Sebahagian besar pendokong HT benar-benar tidak puas hati dengan tindakan Bang Guru mengampu pemerintah. (Sebagai pengkayaan, para pembaca boleh ke http://www.tranungkite.net/modul ... order=0&thold=0 )
(*Di bawah nanti dalam ruangan komen, sila baca “Salafiyyun Dalam Sorotan : Benarkah Gerakan Salafiyyah Paling Ahlulsunnah ?”)

Pak Guru menghentam Bang Guru! Pak Guru dari kampung “selatan’ yang bermuarakan Arab Saudi dan Yaman secara tidak langsung menyesatkan Bang Guru yang bermuarakan Ibnu Taimiyah dan kemudiannya bermutasi bermuarakan Qardhawi! Macam-macam yang Pak Guru sembur! (*Sebagai pengkayaan, para pembaca dipersilakan ke http://www.youtube.com/watch?v=WDzmRatcdfU dan lebih baik lagi ke http://al-ahkam.net/home/index.p ... 4690a1114142db3a0a6 )
Baca juga "APABILA “SI SALAFI” MENAFIKAN KESALAFIAN “SI SALAFI” YANG LAIN : SIAPA YANG BETUL?" di http://laptopdarulfiqh.blogspot. ... kan-kesalafian.html

Bang Guru bertambah tak senang duduk. Hendak ditentangnya kata-kata Pak Guru, memang jelas apa yang disebut oleh Pak Guru selari dengan sumber-sumber asal. Hendak diterimanya, takut lari pula orang-orangnya yang berada dalam ABIM, JIM, ISMA dan HALUAN. Apa yang pasti, perpecahan golongan yang satu-satunya terselamat daripada tujuh puluh tiga golongan ini semakin parah. Bagaimana mereka boleh menjadi satu-satunya yang tereselamat dalam keadaan mereka sendiri sudah punya lima enam puak berasingan?

Baru sebentar Bang Guru terbaca puisi mungkin salah seorang bekas pendokongnya yang berpaling tadah. Puisi ini tersebar luas di internet. Bang Guru membacanya di forum al-Hikam.net. Puisi itu masih di tangan Bang Guru…

AKU DITIPU SALAFI TANAHAIRKU

Dulu aku salafi
Aku salafi melalui forum salafi terbesar di negara ini
Kononnya mereka kembali kepada sumber yang asal
Tapi…
Aku tertipu!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Tapi azan mereka berlagu, berdondang sayang
Adakah azan zaman Nabi berlagu?
Mereka bangga dengan azan Masjidil Haram
Yang masyhur itu
Yang Wahhabi itu
Betulkah Saidina Bilal dulu mendendangkan azan berlagu?
Kalau betul azan untuk dilagukan,
Tentu Nabi dan sahabat sudah buat dulu
Tapi malangnya tidak!

Mereka dakwa jemaah Tabligh sesat
Tapi sekurang-kurangnya
Azan jemaah Tabligh sama dengan azan zaman Nabi,
Tidak berlagu
Tak macam azan bilal Masjidil Haram
Yang mereka banggakan itu
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Akupun kembalilah
Macam yang mereka dakwakan itu
Aku ditipu lagi!

Zaman Nabi mana ada jemaah-jemaah!
Semua orang satu jemaah.
Tak ada Tabligh, tak ada Hizbut Tahrir
Tak ada PAS, tak ada Ikhwan
Tak ada ABIM, tak ada JIM
Tapi…
Mereka haruskan jemaah-jemaah itu!
Bahkan mereka puja Qaradhawi,
Mereka kagum al-Banna
Itukan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin?

Memang penipu!
Sumber asal mengatakan umat Islam satu jemaah
Hanya satu golongan saja yang selamat daripada 73 golongan
Iaitu golongan salafi
Begitulah juga kata Albani
Begitulah juga kat Ben Baaz
Siapa buat pelbagai golongan, semuanya tidak selamat
Bagaimana mereka di forum itu mengaku salafi,
Tapi membenarkan umat Islam berpecah-belah
Membentuk pelbagai golongan
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Zaman Nabi dan sahabat
Zaman itu tidak ada mazhab
Siapa yang buat mazhab
Bererti dia melakukan bid’ah
Sebab Nabi tak pernah buat, sahabat pun tidak

Tapi…
Tipu lagi.
Mereka ajar kitab asy-Syafie, mereka puja dia
Bukankah sumber asal menunjukkan dia berbuat bid’ah?
Dia buat mazhab, Nabi tak buat
Sanggup mereka sanjung seorang tokoh ahli bid’ah!
Hukum orang tu bida’ah, orang ni bid’ah
Alih-alih mereka puja tokoh bid’ah
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Mereka dakwa hanya salafi satu golongan yang terselamat
Dariapad 73 golongan.
Tertipulah aku lagi…

Aku kaji situasi di dunia Arab.
Rupanya ada banyak kumpulan yang mengaku Salafi
Sesama mereka saling sesat-menyesat pula
Macam mana forum itu mendakwa
Hanya Salafi mereka yang terselamat?
Salafi lain pun nak selamat juga
Tapi saling menuduh sesat
Dan saling mengaku
Puak aku paling selamat
Puak akulah satu golongan yang terselamat itu
Lucunya

Ulama-ulama Salafi Saudi yang aku sanjung
Menghukum halal tentera Amerika bertapak di Saudi
Tiba-tiba orang forum kata tak boleh!
Padahal ulama-ulama itu tokoh Salafi utama dunia
Mereka lebih faham Salafi daripada orang-orang di forum
Tokoh-tokoh itu dah kaji
Dah kembali kepada sumber yang asal
Dan jawapannya boleh letak musuh Islam dalam negara
Untuk serang negara Islam lain si Iraq

Bila aku ikut fatwa ini
Mereka kata aku salah
Jadilah aku serba salah.

Sebenarnnya, mereka sendiri tidak kembali kepada sumber yang asal.
Pengakuan di mulut saja.
Aku lebih percaya Albani, Ben Baaz, Fauzan dan lain-lain.
Takkanlah mereka di forum lebih faham Salafi
Daripada ulama-ulama ini!
Betul tak?

Ini Salafi perasan.
Mereka bukan Salafi.
Mereka Salafi syok sendiri, buatan sini.
Cakap mereka di luar negara tidak siapa memandang
Tapi cakap ulama Saudi seluruh dunia pandang

Masuk saja laman Salafi Indon
Mereka mengutuk habis Salafi buatan sini
Kerana Salafi buatan sini
Menyokong ahlul bid’ah
Seperti al Banna, Tilmisani, Qardhawi, Syed Qutb
Salafi sini sokong Ikhwan
Itukan bid’ah yang nyata?

Jelas
Salafi forum itu hanya perasan sendiri
Jemaah Salafi sendiri tidak mengaku mereka satu kumpulan
Tapi penyokong ahli bid’ah
Maksudnya Salafi sini sama saja dengan pembuat bid’ah

Kawan-kawanku sedarlah
Carilah Salafi sebenar
Bukan Salafi forum
Kembalilah kepada sumber yang asal
Bukan taqlid buta kepada mufti

http://alhakim.noonhost.com/hangat-di-pasaran-internet-vt173.htm

BERSAMBUNG
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-6-2007 10:15 PM | Show all posts
Terasa seperti tumbukan Mike Tyson hinggap ke muka Bang Guru. Bedebuk! Gelap pandangannya kerana pukulan sajak itu bertaraf TKO.

Ke mana Bang Guru sekarang? Adakah dia mesti kembali kepada sumber yang asal, ataupun meninggalkan sumber asal?

Dia faham, para pengikutnya akan berpecah lagi, malah lebih besar perpecahannya. Kaum salafi Jemaah Islamiah (JI) belum menunjukkan taringnya di bumi bersemenanjung ini. Mereka diam seketika kerana belum sempat memukul canang, mereka sudah dicantas terlebih dahulu oleh pemerintah. Buat seketika mereka terpaksa melihat saja dulu dakwah salafi Bang Guru. Sampai masanya nanti, sebahagian besar pengikut Bang Guru tetap juga akan beralih kepada mereka sebagaimana situasi di tanah seberang. Buat masa ini Bang Guru menjuarai takhta tajdid kerana dakwah Bang Guru boleh masuk media.

Itu belum lagi datang dakwah tajdid versi Lasykar Jihad. Salafi Jaafar Umar Tholib ini bermusuh dengan lain-lain salafi. Musuh utamanya adalah salafi JI. Hujah-hujah mereka cukup kuat. Kalau sekadar hujah-hujah ynag sebahagiannya berisi penipuan dan penyelewengan Bang Guru bisa membikin masyarakat terpengaruh, bagaimana dengan hujah-hujah JI dan Lasykar Jihad yang lebih kukuh itu? Bang Guru pening.

Salafi Gadongan dari Indonesia yang sejak awal menolak dakwah tajdid Bang Guru juga belum melebarkan sayap mereka ke mari. Pak Guru dari “selatan” hanyalah pengenalan sahaja. Jika mereka menderu ke mari melalui talian internet, juak-juak Bang Guru pasti terpengaruh dengan ketulenan ajaran mereka yang bersandarkan “pure” al-Kitab dan as-Sunnah.

Habislah orang-orang Bang Guru. Jemaah Bang Guru semakin mengecil, dan akan terus mengecil.

Bang Guru sudah lama memikirkan hal ini. Dia dan juak-juaknya ada membuat beberapa persediaan untuk mengimbangi kaum tajdid yang lain itu. Tapi secara tiba-tiba datang pula saingan terbaru yang tidak dijangkakan sama sekali oleh Bang Guru. Dakwah TAJDID SEGAR berputik dan kini sedang berbunga lebat. Angin lembut Tajdid Segar sudah cukup untuk menghiris pipi Bang Guru. Hujah-hujah golongan yang membawa perpaduan umat ini sangat sukar untuk dipatahkan oleh Bang Guru dan juak-juaknya. Dakwah Tajdid Segar yang menjimatkan masa umat Islam ini sudah mampu mengecutkan perut orang-orang Bang Guru di “forum”.

Bang Guru gedebuk-gedebak namun wajahnya dilakonkan supaya terpamer gaya selamba bersama senyum sinisnya. Semua yang bakal mendatang itu memang mejadi ancaman besar kepada dakwah tajdid Bang Guru. Bang Guru kena tunjukkan kepada masyarakat bahawa dia juga seorang yang berpandangan luas, tidak menjadikan hal-hal khilaf sebagai agendanya (padahal memang begitulah dakwah tajdidnya). Maka dikeluarkannyalah pandangan-pandangan yang tidak berkaitan tentang hal-hal khilaf.

Diceritanya tentang penjagaan kebersihan persekitaran kampung, disibukkannya orang kampung dengan nama-nama muallaf, diwajibkannya muallaf memakai nama asal, dicadangkannya buat masjid untuk bangsa-bangsa lain dan macam-macam lagilah benda-benda yang tidak perlu diceritakan kerana masih banyak lagi yang lebih penting untuk diceritakan. Tapi Bang Guru terpaksa buat begitu untuk menunjukkan kononnya dakwah dia juga bersifat universal.

Tidak mustahil selepas ini Bang Guru akan melalut lebih jauh lagi. Mungkin dia akan berbicara tentang makanlah buah-buahan tempatan, “pampers” yang sesuai dengan sunnah, tanam padi di atas bumbung rumah, kempen memandikan kucing sendiri, resepi minggu ini dan sebagainya untuk menunjukkan dakwahnya juga bersifat global.

Berita terakhir tentang Bang Guru, dia semakin dipinggirkan orang-orangnya dahulu. Masing-masing sudah ada platform sendiri. Seminar-seminar Bang Guru semakin kurang mendapat sambutan. Kalau dulu seminarnya mengenakan duit- untung Bang Guru. Kini seminarnya terpaksa mengeluarkan duit. Nasib baiklah Bang Guru masih ada jawatan di kampung, boleh juga dipusing-pusingnya duit orang kampung untuk terus menghidupkan dakwah tajdidnya.

Kami berasa sedih dan simpati dengan nasib Bang Guru. Jika ada peluang, kami akan pergi menziarahinya dan memberikan serba-sedikit buah fikiran agar pintu hatinya dapat dibuka oleh Tuhan. Kami sebenarnya sayangkan Bang Guru…

SUMBER
http://myalexanderwathern.freeph ... order=0&thold=0http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=166&mode=&order=0&thold=0
Reply

Use magic Report

Post time 4-6-2007 10:20 PM | Show all posts
terlupa nak sebut rufaka ke?
Reply

Use magic Report

Post time 4-6-2007 11:13 PM | Show all posts
panjangnyer....
Reply

Use magic Report

Post time 5-6-2007 01:22 AM | Show all posts
cerita yang menarik
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2007 11:55 AM | Show all posts
Huhuhuuuu....bang guru dah senang lenang daahhh kena bela.
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

10-5-2024 07:35 AM GMT+8 , Processed in 0.052527 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list