CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1849|Reply: 4

Konsert Hayati tonjol genre rock Islamik

[Copy link]
Post time 30-8-2007 11:55 AM | Show all posts |Read mode
Konsert Hayati tonjol genre rock Islamik
30-08-2007 11:45:49 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Lagu bergenre rock juga dapat menonjolkan unsur kemanusiaan dan ketuhanan. Pendapat ini ada benarnya kerana pejuang-pejuang lagu rock telah lama membawakan lagu-lagu sedemikian melalui bait-bait liriknya yang mungkin tidak disedari oleh peminat-peminat muzik tanah air.

Bagi menyedarkan manusia sejagat yang tidak putus daripada dunia muzik, Nusantara Germs dengan kerjasama TV9 menganjurkan sebuah konsert yang bakal menghimpunkan 'rockers-rockers' terkenal seperti Hattan, Ella, Mus (May), Man Kidal di Ruums, Life Centre pada 9 September depan.

'Konsert Hayati' ini turut membawakan kumpulan hip hop/rap, Ahli Fiqir, Faizal Tahir (One In a Million), Yasin dan Bienda.

Ternyata konsert percuma yang dihoskan oleh pengacara, pelakon dan komposer Bob Lokman ini mempunyai tujuan yang jelas tentang pemilihan tempat, sebab ia di adakan dan sebagainya.


Konsert Hayati menjanjikan kelainan dari segi persembahan artis
yang membawakan lagu bergenre rock
(Foto The Star oleh Art Chen)

"Setiap lagu perlu dihayati dari segi mesej dan senikata lagu itu. Irama jazz dan dangdut mempunyai lagu yang genrenya berubah-ubah.
"Tidak harus dihukum genre lagu rock itu sebab diorang senang nak nyanyi lagu itu. Ganas tak salah kerana ia hanya satu genre.

"Apa yang penting adalah mesej daripada senikata yang disampaikan," tegas Pengarah Urusan Nusantara Gems, Dato' Raja Rezza Shah  dalam sidang media Konsert Hayati di Ruums, Kuala Lumpur.

Menurut Rezza, pemilihan Ruums bertepatan dengan niat mereka untuk menjadikan tempat yang 'gelap' itu disinari 'cahaya' kerana khalayak sasarannya adalah orang-orang tertentu yang selama ini lupa kepada tuhan.

"Rasullullah S.A.W pernah ke tempat jahil yang penuh dengan patung berhala untuk menyampaikan dakwah. Sama juga seperti situasi di sini, jadi buat di tempat yang gelap agar cahaya itu dapat dilihat oleh orang-orang tertentu," kata Rezza.

Selain berhibur dan menerapkan mesej yang disampaikan, pihak TV9 akan mengutip sumbangan untuk Tabung Dapur Untuk Darfur yang dianjurkan oleh TV3 dengan penyertaan semua anak syarikat kumpulan Media Prima Berhad, untuk memberi peluang kepada orang ramai menderma kepada mereka yang amat memerlukan.

"Konsert ini diadakan supaya ibu bapa memahami keperluan dan kemahuan anak-anak muda sekarang pada masa yang sama untuk menanam minat mereka disamping mendidik masyarakat yang suka menderma," kata Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda dalam majlis yang dihadiri oleh para artis dan wartawan.

Bermula jam 3 petang dengan anggaran masa selama dua jam, tempat yang boleh memuatkan 3,000 orang penonton itu akan menghidupkan suasana melalui lagu-lagu yang berunsurkan kemanusiaan dan ketuhanan yang diharapkan dapat mendidik masyarakat tentang nilai-nilai mulia berlandaskan agama dan budaya kita.

"Konsert yang bakal diadakan ini diharap bukan sahaja dapat menghibur tetapi juga mengajak ke arah kebaikan dan menilai diri kita.
"Seperti namanya (Konsert Hayati), lagu-lagu yang akan dipersembahkan oleh artis-artis terkenal tanah air dalam konsert ini juga diharap dapat dihayati akan senikata lagunya dan mesejnya yang disampaikan melalui lagu-lagu seperti Gemilang, Kasih, Kepadamu Kekasih, Kau Yang Satu dan Keagungan Tuhan," kata Bukhari.

Konsert yang diiringi oleh kumpulan Riss ini akan melalui proses rakaman di bawah pimpinan Penerbit Eksekutif, Saniboey Mohd. Ismail untuk disiarkan pada hari raya kedua nanti.


Disamping berhibur, penonton digalakkan untuk menderma bagi
Tabung Dapur Untuk Darfur semasa konsert dijalankan

(Foto The Star)
Eksperimen awal

Apabila berkata tentang sejauh mana penghayatan agama yang dapat diterima oleh mereka yang hadir, Rezza dengan terbuka menyatakan ia adalah satu eksperimen dan hasilnya akan diperolehi pada hari 'bersejarah' itu nanti.

Bukan mudah untuk mereka mengatur langkah untuk memastikan konsert itu berjaya mendapat sambutan namun mereka yakin bahawa pejuang rock mempunyai peminat mereka tersendiri.

Oleh itu, mereka sedaya upaya menggunakan kesempatan itu untuk mendekati remaja khususnya terjebak dengan gejala sosial yang tiada penghujungnya.

"Kita percaya kalau orang tu minat rock, kita tak boleh paksa mereka minat nasyid. Tak semestinya lagu nasyid sahaja ada mesej ketuhanan.

"Lagu Rama-rama, Rendang Tak Berbuah dan lagu Kepadamu Kekasih pun ada elemen-elemen tersebut," jelas Rezza.

Walaupun tempat itu terhad untuk memenuhkan ramai orang, ia hanyalah siri pertama sebelum konsert itu dijalankan dibeberapa buah negeri pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada semua orang untuk menghayatinya.

Menurut Hattan yang turut hadir dalam majlis tersebut, beliau menganggap penerimaan dalam menghayati agama bergantung kepada penonton yang hadir melalui lagu-lagu yang disampaikan.

"Saya dan kawan-kawan sebenarnya dah lama nyanyi semua tu (lagu bermesej ketuhanan) tapi orang tak perasan," kata Hattan.
Manakala Bukhari memberi pandangan dari sudut siaran televisyen di mana beliau membuat eksperimen lagu ketuhanan dan bermesej tetapi penyampaian yang pelbagai.

"Melalui perkampungan hadhari yang kita jelajah seluruh negeri di empat lokasi iaitu Kelantan, Kuantan, Alor Setar dan Kuala Terengganu, bila kita gabung nasyid dengan pop dan rock, ia mendapat sambutan yang luas.

"Dapat perhatian pelbagai peringkat umur dan merupakan pendekatan yang baik," ujar Bukhari.


Persediaan menghadapi Ramadhan

Rezza menjelaskan bahawa konsert yang bersih dari segi alkohol itu sengaja dipilih pada tarikh 9 September sebagai persediaan mental, rohani dan jasmani sebelum menyambut bulan Ramadhan yang dijangka jatuh seminggu dari tarikh tersebut.

"Bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Jadi tarikh itu sengaja dipilih iaitu seminggu sebelum Ramadhan untuk persediaan 'mind set' dari segi lirik lagu yang dipilih," kata Rezza sambil tersenyum.

Pas masuk boleh didapati dengan menghubungi talian 03-4256 2060 atau datang terus ke Ruums dan Sri Pentas, 3 Bandar Utama.



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-8-2007 03:37 PM | Show all posts
aku bukan nak bidas la... tapi biasa nye yang islamik tu untuk hari tu je kot?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-9-2007 09:25 AM | Show all posts
Jawab Jangan Tak Jawab: Rezza sedia berdepan kontroversi
Oleh Farihad Shalla Mahmud


Konsert rock berkonsepkan Islam di pusat hiburan Ruums tak jemput kumpulan nasyid

PADA sidang media ketika mengumumkan penganjuran Konsert Hayati - sebuah konsert rock bercirikan keislaman, penganjurnya, Datuk Raja Rezza Shah dari Nusantara Gems Sdn Bhd awal-awal lagi sudah mengakui bahawa projeknya itu bakal mengundang kontroversi.

Dan dia juga bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang timbul hasil daripada projek yang julung-julung diadakan itu. Kesediaan itu timbul atas beberapa faktor. Pertama, biarpun konsert ini sebuah konsert berkonsepkan keislaman namun tidak ada seorang pun kumpulan nasyid yang sinonim dengan konsep ini diundang.

Kedua, pemilihan muzik rock sebagai perantara menyampaikan dakwah mungkin akan dipertikaikan keberkesanannya. Lebih menimbulkan persoalan, apa motif mereka menjadikan pusat hiburan Ruums di Jalan Sultan Ismail sebagai lokasi kerana terang-terang tempat itu memang tidak bersesuaian dengan matlamat penganjuran konsert.

Namun bagi Raja Rezza Shah, itu semua bukan halangan untuk dia melaksanakan impiannya itu dan dia percaya niat murninya iaitu ingin menebarkan dakwah menerusi muzik itu pasti akan diterima dan mendapat sokongan ramai kerana ketika ini tidak banyak pihak yang berminat untuk berbuat demikian.

Tambahnya, sebab utama dia memilih genre muzik rock kerana irama itu cukup dekat dengan jiwa anak muda yang menjadi golongan sasaran.

Bakal diadakan 9 September depan, jam 3 petang, konsert yang dianjurkan dengan kerjasama TV9 itu akan menampilkan rockers hebat tanah air antaranya, Ella, Hattan, Mus (May), Man Kidal, Ahli Fiqir, Faizal OIAM, Yasin dan Bienda. Manakala pelakon, penulis lirik Bob Lokman dipilih sebagai pengacara untuk konsert terbabit.

Hip: Apa relevannya memilih konsert rock untuk menyampaikan mesej dakwah?

Rezza: Bagi saya apapun genre muzik, yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan. Mungkin ada yang melihat muzik rock tidak sesuai untuk dijadikan konsert bercirikan Islam kerana kononnya terlalu ganas. Tetapi mungkin ada yang tidak tahu bahawa sebelum muzik rock muncul, lagu pop yeh yeh itu dulu pernah dianggap sebagai ganas dan sebelum muzik itu berkembang, lagu berentak joget suatu waktu dulu juga pernah dianggap ganas. Jadi di sini sebenarnya soal genre muzik tidak timbul kerana apa yang penting, lagu perlu dihayati dari segi mesej dan liriknya.

Hip: Tapi bukankah kelazimannya lagu rock itu memang ganas?

Rezza: Siapa kata? Lagu bergenre rock juga ada yang menonjolkan unsur kemanusiaan dan ketuhanan. Kalau kita lihat sebelum ini, ramai pejuang lagu rock sudah lama membawakan lagu berkonsepkan sedemikian melalui bait liriknya yang mungkin tidak disedari oleh peminat muzik tanah air. Kami percaya kalau orang itu minat rock, kita tak boleh paksa mereka minat nasyid. Tak semestinya lagu nasyid saja ada mesej ketuhanan. Sebagai contoh, lagu Rama-Rama, Rendang Tak Berbuah, Kau Yang Satu, Kepadamu Kekasih pun ada elemen itu. Dan lagu itu juga akan berkumandang dalam konsert akan datang.

Hip: Kalau benar ingin berdakwah mengapa memilih Ruums dan bukannya di tempat terbuka supaya dapat menarik lebih ramai orang datang menyaksikannya?

Rezza: Pemilihan Ruums bertepatan dengan niat kami untuk menjadikan tempat yang 'gelap' ini disinari 'cahaya' kerana khalayak sasarannya adalah orang tertentu yang selama ini hidup dengan jiwa yang gelap. Sebagai contoh, Rasullullah S.A.W pernah ke tempat jahil yang penuh dengan patung berhala untuk menyampaikan dakwah. Jadi, konsep itu amat sesuai untuk kita ikuti dan aplikasikan dalam situasi begini. Bagaimanapun, pada hari sebenar nanti, kami meminta kerjasama dari pihak Ruums supaya lokasi itu bebas dari alkohol bagi menghormati perjalanan konsert terbabit. Dan bagi menarik lebih ramai orang datang menonton, konsert ini juga diadakan secara percuma. Pas masuk boleh didapati dengan menghubungi talian 03-4256 2060 atau datang terus ke Ruums dan Sri Pentas, 3 Bandar Utama

Hip: Ceritakan sikit perjalanan konsert ini. Apakah perbezaannya dengan konsert rock biasa?

Rezza: Seperti yang kita ketahui, objektif konsert ini diadakan adalah untuk mendidik masyarakat mengenai nilai murni berlandaskan agama dan budaya kita. Justeru kebanyakan lagu yang dinyanyikan petang itu pastinya berunsurkan kemanusiaan dan ketuhanan. Seperti namanya (Konsert Hayati), lagu yang akan dipersembahkan oleh artis terkenal tanah air dalam konsert ini juga diharap dapat dihayati akan seni kata lagu dan juga mesejnya. Kami juga akan menyediakan lirik di skrin supaya penonton dapat bersama-sama menyanyi dan menghayati setiap baris lirik yang didendangkan. Konsert yang berlangsung selama dua jam itu bukan saja menampilkan persembahan nyanyian tetapi juga sketsa dan acara rahsia. Kami akan membuat satu kejutan buat penonton. Tunggu!

Hip: Biasanya konsert rock cukup agresif, jadi bagaimana dengan Konsert Hayati?

Rezza: Itulah yang saya katakan tadi. Konsert Hayati ini memang berbeza dengan konsert rock yang sedia ada. Mungkin konsert ini tidak seagresif konsert rock yang lain tetapi ia tetap mempunyai keistimewaan sendiri. Bagaimanapun ia terpulang kepada penyanyi itu sendiri bagaimana dia hendak mencorakkan persembahannya. Tetapi seperti apa yang saya ceritakan sebentar tadi akan ada kejutan dari penyanyi ini. Apakah dia? Itu semua kena tunggu pada hari sebenarnya nanti.

Hip: Sejauh manakah penghayatan agama ini dapat diterima mereka yang hadir?

Rezza: Saya akui, konsert ini adalah satu eksperimen buat saya dan hasilnya hanya akan terbukti pada hari sebenarnya nanti. Namun begitu, saya percaya artis yang diundang menjayakan konsert ini mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana mereka mempunyai peminat tersendiri. Dengan pengalaman yang ada saya yakin mereka akan menggunakan peluang itu untuk mendekati remaja khususnya mereka yang terjebak dengan gejala sosial serta membimbing mereka ke jalan yang benar.

Hip: Apa lagi objektif konsert ini?

Rezza: Untuk pengetahuan semua konsert ini sengaja dipilih pada tarikh 9 September sebagai persediaan mental, rohani dan jasmani sebelum menyambut bulan Ramadan yang dijangka jatuh beberapa hari daripada tarikh itu. Seperti yang kita sedia maklum, bulan puasa akan tiba tidak lama lagi. Jadi tarikh itu sengaja dipilih iaitu seminggu sebelum Ramadan untuk persediaan 'mind set' dari segi lirik lagu yang dipilih.

Hip: Mungkin ada perancangan lain selepas konsert ini?

Rezza: Saya akan pastikan bahawa Konsert Hayati ini bukan yang pertama dan juga bukan yang terakhir. Saya juga bercadang untuk membawa konsert itu menjelajah beberapa buah negeri pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada semua orang untuk menghayatinya. Dan konsert Islamik ini bukan saja terhad untuk muzik rock tetapi juga muzik dangdut atau R&B kerana muzik adalah universal dan bagi saya menghayati lirik itu lebih penting supaya maksud sebenar konsert ini tercapai.
Reply

Use magic Report

Post time 5-9-2007 09:27 AM | Show all posts
buat dekan ruums kan? sesuai ke
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-9-2007 09:59 PM | Show all posts
Hayati 'Islam' dalam pub!
10-09-2007 05:08:59 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ  

Mungkin pemilihan tempat untuk Konsert Hayati di Ruums, Life Center, agak 'kurang sesuai' kerana  umum sedia maklum ianya adalah sebuah 'bar' dan 'pub.'

Namun sebagai satu pendekatan baru tempat ini dipilih dan ianya bukan penghalang perjalanan konsert ciri 'rock Islamik' yang menampilkan penyanyi rock tanpa dadah dan alkohol.

Ternyata niat ikhlas Pengarah Urusan Nusantara Germs Dato' Raja Rezza Shah atau Shah Reza ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton apabila seramai 1,000 orang hadir pada petang semalam.


Persembahan pembukaan oleh Faizal tidak sia-sia
dengan menyanyikan tiga buah lagu
(Foto The Star oleh Kevin Tan)

"Dalam masa yang begitu singkat dan kekurangan 'sponsor', saya sebenarnya lebih bersyukur sebab ianya lebih dari apa yang saya jangkakan.

"Daripada penonton yang hadir, mereka berkelakuan baik. Saya betul-betul gembira kerana banyak perkara yang terkawal.

"Dengan imej tersendiri dan tema hiburan alternatif, ada juga artis rock yang tak nak ubah tapi 99 peratus menunjukkan respon positif ," kata bekas pelakon dan penyanyi Shah Reza selepas konsert itu berakhir.


Ahli Fiqir mendendangkan lagu dengan penuh bersemangat

Menurut Shah Reza, dia mengambil masa kurang daripada sebulan sebelum konsert iaitu selepas pulang dari menghadiri majlis Tilawah Al-Quran di Jakarta. Walaupun dalam masa yang suntuk, Shah Reza perlu mengotakan janjinya walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dengan belanja yang kurang daripada RM100,000, beliau akui memang terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki seperti aspek teknikal.

Namun, persembahan artis yang mantap dan bersemangat ketika menyanyikan lagu membuatkan segala cacat cela yang berlaku dapat dimaafkan.


Hattan dan Yasin juga menyampaikan lagu dengan penuh bertenaga


Apa yang diperhatikan, terdapat segelintir pasangan yang berpelukan seolah-olah mencemar konsert yang suci seperti warna pakaian yang disarungkan ke tubuh penyanyi dan pengiring muzik (semuanya berpakaian putih) di bawah pimpinan Riss itu.

"Kita kena realistik. Ini baru pertama kali konsert sebegini diadakan. Mustahil semua boleh betul dalam satu konsert sahaja. Mana kita tahu mungkin mereka suami isteri kan?," jelas Shah Reza seolah memberi 'lampu hijau' tentang aksi melampau pasangan yang hadir.

"Kalau 100 peratus semuanya baik, mungkin saya yang akan taksub pula. Biasalah kita tak boleh nak ubah sesuatu itu secara mendadak. Kalau dapat buat sedikit perubahan pun jadilah.

"Tapi sekurang-kurangnya tiada orang yang mabuk dan mengambil dadah. Saya rasa ini adalah sebuah konsert yang membawa kesan positif'," jelas bekas penyanyi Mekar Sejambak itu lagi.


Ella dan Bienda berduet dalam lagu Kau Tiada Ganti dengan
iringan gitar sentuhan Man Kidal


Menurut Shah Reza lagi, mungkin sebelum ini peminat yang membeli album Ella lupa akan lirik lagunya dan hanya menghayati rentak lagu sahaja ibarat 'suci dalam debu'. Mereka sepatutnya mencari yang tersurat dan tersirat."

"Apa yang penting adalah mesej. Sampaikan mesej melalui lagu-lagu rock kerana masyarakat suka 'judgemental' (bersifat menghukum)," kata Shah Reza.

Konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut menampilkan penyanyi rock seperti Ella, Faizal Tahir, Man Kidal, Hattan, dan Mus (May).


Gemersik petikan gitar Man Kidal menghiburkan penonton

Selain itu, konsert yang dihoskan oleh Bob Lokman ini juga menampilkan Yasin, Ahli Fiqir, dan Bienda.

Persembahan 'Konsert Hayati' memang menyentuh perasaan dan yakin ramai yang dapat menerima mesej dan pengajaran yang disampaikan melalui lirik di paparan skrin besar.

Antara persembahan yang bertenaga dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton adalah lagu Rendang Tak Berbuah oleh Hattan termasuk lagu-lagu lain yang disampaikan olehnya seperti Kau Yang Satu, Duit-duit, dan Kepadamu Kekasih yang bercirikan ketuhanan.

Tidak kurang hebatnya Ella dalam lagu Rama-rama dan Mus (Sinar) yang menjadi siulan penonton, membangkit semangat dan bertenaga setelah mendapat sorakan dan tepukan yang gemuruh.

Persembahan daripada Faizal sebagai pembuka konsert juga tidak menghampakan walaupun hanya menyanyikan tiga buah lagu iaitu Raikan Cinta (M.Nasir), Wild World (Yusof Islam) dan lagu yang memenangi Lagu Rock Pilihan dalam Anugerah Era 2007 pada 8 September lalu, Mahakarya Cinta.


Persembahan lagu Sinar oleh Mus mendapat tepukan gemuruh

Kesemua 24 buah lagu yang disampaikan dengan lirik yang berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan serta sentuhan gitar daripada Man Kidal boleh dikatakan berjaya memukau penonton.

Lagu-lagu lain yang mendapat perhatian penonton adalah Alhamdulillah (duet Yassin), 2x5 dan Samseng (Ahli Fiqir), Dari Kaca Mata (Mus) dan Standing In The Eyes, Kasih, Permata Biru dan Gemilang (Ella).

Lagu Gemilang disampaikan secara beramai-ramai pada kemuncak persembahan oleh Ella, Man Kidal, Ahli Fiqir, Mus (May) dan Bob Lokman.

Dengan dua orang penyanyi latar yang mengiringi persembahan, Bob Lokman menjayakan konsert dengan melakukan selingan komedi yang mencuit hati penonton.

Ella tampil dengan kelainan pakaian bercorak batik yang sopan ciptaan Tom Abang Saufi.

Golongan artis dan personaliti tidak ketinggalan menghadiri konsert eksperimentasi yang samada mencetus kontroversi atau medium baru yang bakal diikuti oleh pihak lain selepas ini.

Mereka adalah pelakon kanak-kanak dari filem Tentang Bulan Nik Adruce dan Erin Malik, Datuk Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa bersama anak tirinya Mohd Asyraf Khalid dan Fifi TV3 (Bersamamu).

"Saya berpuas hati dengan apa yang mereka buat. Konsert rock, rock juga asal ada elemen nasyid walaupun buat di disko tetapi lagu memuji Allah. Memang bagus dan apa yang mereka sampaikan dalam lagu ada nasihat yang baik dan boleh diikuti," kata Adruce.

Anak tiri Siti Nurhaliza, Asyraf, 15 pula berpendapat konsert sebegini adalah bagus kerana beliau melihat ramai 'Mat Rock' datang ke konsert 'Islam'.

"Kiranya sampailah mesej yang mereka ingin sampaikan....," kata Asyraf yang menyukai lagu Kasih dan Rendang Tak Berbuah.

Rata-rata ramai yang terhibur dengan konsert yang julung-julung kali diadakan.

"Best dan puas hati dengan showmanship dan persembahan semua artis. Insya Allah mesej yang ditujukan sampai kepada saya. Saya datang pun sebab konsert ini lain daripada yang lain dan belum pernah diadakan sebelum ini," kata Kaka, gadis berusia 18 yang juga menyukai lagu Kasih.

Konsert Hayati bakal ditayangkan di TV9 pada 17 Oktober ini.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-12-2024 09:30 AM GMT+8 , Processed in 1.272697 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list