Mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
KUCHING: Satu mayat reput dipercayai wanita dijumpai dalam bilik mandi di sebuah rumah pangsa, Pending Heights di sini hari ini.
Mayat tanpa identiti itu dijumpai sekitar jam 10 pagi selepas penduduk di situ melaporkan terhidu bau busuk.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah yang mengesahkan penemuan mayat wanita itu berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
"Setakat ini belum ada identiti ditemui," katanya ketika menerusi pesanan WhatsApp kepada Utusan Borneo hari ini.
Sehubungan itu, tegasnya, orang ramai dan individu yang pernah membuat laporan dan ingin mengesan ahli keluarga atau rakan yang hilang boleh tampil atau menghubungi polis.
"Kita meminta mana-mana individu yang pernah membuat laporan polis atau ingin mengesan ahli keluarga atau rakan yang hilang iaitu wanita untuk menghubungi Balai Polis Bintawa atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching," ujarnya.
Dalam pada itu, pasukan bomba turut hadir ke lokasi kejadian untuk membantu mengangkat mayat tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
Mayat wanita terbabit kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Jelas Ahsmon, kes itu disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
utusanborneo.com.my/2021/10/24
|