KOTA KINABALU: Perbuatan saling pandang memandang ketika mabuk dipercayai punca dua orang lelaki dibelasah sekumpulan lapan lelaki di luar pusat hiburan di Cyber City sini pada 20 Oktober lalu.
Seorang daripada lapan suspek lelaki yang dikehendaki dalam kejadian yang diklasifikasikan sebagai kes merusuh tersebut berjaya ditangkap pada Rabu, jam 8.10 malam.
Suspek yang berjaya ditangkap kini direman empat hari hingga 31 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan tangkapan ini ketika dihubungi.
Dalam kejadian tersebut, dua mangsa lelaki berusia 19 tahun telah dibelasah lapan suspek, termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.
Mohd Zaidi berkata, punca kejadian dipercayai daripada saling pandang memandang kedua-dua pihak yang berada dalam keadaan mabuk, ketika berada di dalam pusat hiburan berkenaan.
Pergaduhan berlaku di luar premis apabila lapan suspek menarik salah seorang mangsa dan terus membelasahnya.
Sementara, seorang lagi rakan mangsa juga dibelasah apabila cuba membantu rakannya. Kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa cedera namun tidak serius. Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan pihak polis juga masih dalam usaha untuk mengenalpasti suspek yang lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kesemua suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu. Mangsa pula gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
Mohd Zaidi berkata, tindakan pemeriksaan di premis pusat hiburan berkenaan telah dijalankan pada keesokkan harinya.
Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan kepada pelanggan dan juga pemilik premis selepas didapati melakukan kesalahan.
Tegasnya, pemantauan dari semasa ke semasa oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu akan dijalankan bagi memastikan tiada kejadian sama berulang selain penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).