Abdul Karim pada sidang media selepas majlis pelancaran logo korporat jenama ‘Sport Sarawak’ di Kuching malam Isnin.
KUCHING: Prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkemungkinan akan digunakan di Sarawak sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun belum ada kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana DUN Sarawak masih belum dibubarkan.
“Garis panduan ketat yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini adalah untuk PRN Melaka.
“Tetapi saya pasti apabila DUN kita (Sarawak) sudah dibubarkan dan memandangkan kes COVID-19 masih ada, saya sangat pasti apa yang diguna pakai untuk Melaka juga akan terpakai kepada PRN Sarawak.
"Bagi saya, ia tidak sepatutnya menjadi masalah. Lebih baik ada garis panduan SOP untuk pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran logo korporat jenama Sport Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, malam Isnin.
Abdul Karim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberi taklimat kepada kerajaan negeri bahawa tidak akan ada kempen terbuka atau kempen dari rumah ke rumah untuk PRN akan datang.
“Semasa mengundi, kita perlu menjalani proses yang sama seperti cara kita memasuki pasar raya sekarang di mana semua orang perlu melalui saringan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya.
"Langkah-langkah ini mungkin melambatkan proses mengundi tetapi jika kita mempunyai lebih banyak laluan, ia akan mempercepatkan proses itu. Oleh itu, ia tidak menjadi masalah," ujarnya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata kaedah kempen PRN yang berbeza tidak membuatkan demokrasi negara itu telah cacat.
“Anda pergi ke beberapa negara lain, mereka tidak mempunyai kempen dan perhimpunan seperti di sini.
“Apa yang penting pengundi tahu calon, parti yang diwakili, latar belakang akademik dan manifesto mereka.
“Dari situ mereka boleh menilai sendiri sama ada calon sebenar yang mereka mahu undi,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu.
Khairy sebelum ini mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan PRN Melaka tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November ini.
Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah sub peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
utusanborneo.com.my/2021/11/02
|