Keadaan kereta mangsa selepas terlibat kemalangan di Jalan Kuching Bau.
KUCHING: Seorang pekerja kilang maut akibat cedera parah setelah kereta dipandunya hilang kawalan dalam nahas jalan raya di Kilometer 10, Jalan Kuching-Bau, di sini malam Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Vincent Sinawat Edwin, 20, beralamat di Taman Mutiara, Jalan Jambusan, Bau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bau.
"Kemalangan berlaku sekitar jam 8 malam melibatkan sebuah kereta yang dipandu mangsa di Kilometer 10, Jalan Kuching-Bau.
"Semasa perjalanan, mangsa dari Kuching menuju ke Taman Mutiara, Jalan Jambusan, Bau, apabila melalui satu selekoh kereta yang dipandu telah hilang kawalan ke sebelah kiri jalan terus masuk parit dan melanggar hujung konkrit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan patah tulang dada manakala keretanya rosak di keseluruhan bahagian.
"Mangsa menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Bau dan telah meninggal dunia semasa dalam rawatan," tambah Alexson.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/11/08
|