SIBU: Orang ramai tidak perlu bimbang atau takut ketika turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan pada penghujung November atau awal Disember ini.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee ketika perincian kes Covid-19 Daerah Sibu secara maya menyifatkan risiko turun mengundi pada PRN-12 adalah kurang, berbanding risiko ketika makan di dalam premis.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu memaklumkan, mengundi adalah lebih selamat daripada makan di kedai makan. “Ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dikuatkuasakan di semua pusat mengundi. “Di pusat mengundi, hanya seorang dibenarkan masuk ke lorong pada satu masa.
Terdapat juga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter, antara pengundi dengan yang lain. “Pengundi hanya perlu menarik pelitup mukanya ke sebelah muka untuk seketika bagi tujuan pengenalan,” katanya yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.
Beliau berkata, situasi tersebut sangat berbeza ketika makan di dalam premis, kerana orang ramai menanggalkan pelitup muka untuk makan dan minum yang boleh mendedahkan risikonya lebih tinggi jika tempat tersebut ramai.
Beliau memberitahu, adalah lebih berbahaya berada di kedai kopi daripada turun mengundi semasa PRN-12 nanti.
Sementara itu, Dr Annuar berkata, pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan SOP bagi PRN-12.
sarawakvoice.com/2021/11/09
|