CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1432|Reply: 0

Masjidil Haram dibasmi kuman 10 kali sehari pastikan jemaah selamat

[Copy link]
Post time 14-11-2021 09:15 AM | Show all posts |Read mode
  


RIYADH: Masjidil Haram di Makkah menjalani kerja-kerja membasmi kuman dan dibersihkan sebanyak 10 kali sehari demi memastikan jemaah dan pengunjung selamat, lapor akhbar Arab News semalam, yang memetik laporan Agensi Berita Saudi (SPA).

Seramai 4,000 pekerja lelaki dan wanita menjalankan kerja-kerja pembersihan itu, yang diselia oleh 200 kakitangan kanan.


Semasa Rabiulawal lalu, sebanyak 300 operasi pembasuhan dan pembasmian kuman dijalankan di Masjidil Haram dan kawasan lapangnya menggunakan 2.4 juta liter produk pembasmi kuman dan pembersihan bermutu tinggi.

Masjid itu juga disembur 45,000 liter minyak wangi dan 100 wangian pembersih udara digunakan di dalamnya, tambah laporan itu.

Sejumlah 500 perkakas dan peralatan digunakan semasa operasi pembersihan dan setiap operasi mengambil masa 25 minit bagi memastikan jemaah tidak diganggu.

Pada 17 Oktober lalu, kerajaan Saudi mengumumkan langkah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ia membenarkan jemaah menunaikan solat tanpa dibatasi penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik Covid-19.

Langkah ini termasuk membenarkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dengan jemaah dibenarkan beribadah dalam saf rapat.

Kumpulan pekerja juga dilihat menanggalkan penanda di lantai selepas pengumuman dibuat melibatkan kawasan di dalam dan sekitar Masjidil Haram.

Pada Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Saudi memperincikan definisi 'tempat awam' yang dibenarkan masuk dengan dan tanpa pelitup muka.

Sumber kementerian itu, yang dipetik SPA, menyatakan bahawa individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka seperti di taman dan dataran awam serta di ruang kaki lima.

Sementara di tempat awam yang berdinding dan tertutup, walaupun dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dan masih tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Ruangan tertutup ini termasuklah stadium, dewan acara yang mampu memuatkan 500 orang ke atas pada satu-satu masa, premis yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna, koridor dan kawasan terbuka dalam kompleks komersial, di dalam masjid, pasar awam dan premis-premis perniagaan kecil.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-5-2024 09:52 PM GMT+8 , Processed in 0.410874 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list