Polis mengalihkan mayat banduan di bumbung penjara di Guayaquil, Ecuador, hari ini. - Foto AFP
GUAYAQUIL: Pergaduhan di antara kumpulan banduan di sebuah penjara mengakibatkan 68 terbunuh, penjara sama yang meragut 119 nyawa dalam insiden rusuhan pada September lalu.
Gabenor wilayah Guayas, Pablo Arosemena, berkata rusuhan yang bermula pada jam 7 pagi itu menyaksikan kumpulan banduan terbabit bergaduh menggunakan senjata api, bahan letupan dan parang.
Katanya, kejaidan tembak-menembak dilaporkan berlaku di pintu pagar penjara.
"Tindakan cepat polis membantu menyelamatkan banyak nyawa," katanya.
Komander Polis, Tannya Varela, pula berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sekumpulan banduan cuba memasuki Blok 2 penjara berkenaan yang menempatkan pesaing mereka dengan melepaskan tembakan dan bahan letupan, selain melibas parang.
"Kejadian ini berpunca daripada perebutan kawasan di antara kumpulan banduan dalam penjara berkenaan.
"Seramai 68 banduan terbunuh, manakala 25 lagi cedera dalam pergaduhan terbabit," katanya.
Sementara itu, jurucakap Presiden, Carlos Jijon, berkata biarpun disuraikan polis, kumpulan banduan terbabit sekali lagi menyerang di antara satu sama lain.
"Kerajaan ingin melaporkan bahawa insiden terbaharu berlaku di penjara berkenaan," katanya. - AFP
Tentera di luar penjara Guayas 1, Ecuador, hari ini. - Foto AFP November 14, 2021
|