CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1147|Reply: 0

Tinggal harta tanpa waris

[Copy link]
Post time 1-12-2021 11:09 PM | Show all posts |Read mode
Tinggal harta tanpa waris


GAMBAR hiasan.

ARWAH bapa tidak pernah membuat wasiat terhadap tanah kebun sawit yang diusahakan ketika hidupnya.

Bagaimanapun, selepas dia meninggal dunia, saya memohon untuk menjadi pemegang mutlak tanah berkenaan.

Dalam setahun, saya ada menerima dua atau tiga kali hasil daripada tanaman itu.

Buat pengetahuan puan, saya hanya ada dua beradik.

Adik saya memang tidak pernah menuntut sebarang bahagiannya, malah hubungan kami juga baik dan tidak berselisih faham.

Berdasarkan situasi itu, adakah saya tetap perlu membahagikan harta atau hasil sawit mengikut sistem faraid?

Adakah tanah tanaman sawit itu berstatus tanah pusaka?

Cik Li

Kulai, Johor

Apabila orang Islam meninggal dunia, segala harta yang ditinggalkan adalah harta pusaka.

Harta pusaka adalah sesuatu yang ditinggalkan si mati daripada harta benda dan hak yang akan diwarisi ahli waris disebabkan kematian pewaris.

Menurut istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah.

Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati.

Definisi al-tarikah dari segi istilah syarak menurut jumhur fuqaha’ pula, mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuk harta benda, hak kebendaan dan hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak persendirian.

Semua itu akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris. Harta yang dimaksudkan ialah segala harta peninggalan si mati meliputi harta alih dan harta tak alih setelah ditolak segala hutang dan kewajipan yang perlu diberikan kepada pihak yang berhak menurut undang-undang.

Oleh yang demikian, tanah kebun sawit yang dimiliki arwah bapa ketika hayatnya adalah harta pusaka yang wajib disempurnakan haknya melalui faraid.

Anak arwah adalah ahli waris. Jika ahli waris lain seperti isteri arwah, ibu atau bapanya juga berhak ke atas pusaka itu kerana mereka juga ahli waris yang layak menerima pusaka.

Pensyariatan pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam terkandung di dalam al-Quran.

Ia dapat dilihat di dalam Surah an-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176 yang dikenali sebagai ayat al-mawarith.

Ketiga-tiga ayat itu menjelaskan secara terperinci pusaka di dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian mereka dan sebab pewarisan.

Contohnya, firman Allah di dalam ayat 11, Surah an-Nisa’ iaitu: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya: satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak, tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua-dua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya, ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Ahli waris adalah orang yang berhak menerima pusaka daripada si mati. Penentuan itu bersumberkan al-Quran, sunah, ijmak sahabat dan ijtihad.

Sumber itu bukan sahaja dari aspek penentuan ahli waris, tetapi bahagian-bahagian yang patut diterima ahli waris dalam hal tertentu.

Penentuan itu juga perlu mematuhi rukun dan syarat pusaka, kategori waris dan kadarnya. Penentuan ahli waris dan kadarnya ditentukan dan disediakan oleh mahkamah syariah dengan pengeluaran Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris.

Sijil Faraid akan memperuntukkan bahagian yang akan diterima waris dan pembahagian dibuat mengikut Hukum Faraid atau Pusaka Islam.

Bagaimanapun, ahli waris boleh membuat persetujuan dan mengemukakan Surat Persetujuan dan juga Penolakan (Takharuj) atau Surat Pakatan Keluarga di dalam pembahagian harta pusaka.

Pembahagian akan dibuat mengikut Surat Persetujuan atau Surat Pakatan berkenaan.

Justeru, dalam permasalahan pembaca kali ini, jika hanya itu adik waris yang tinggal dan bersetuju abangnya mengambil haknya dalam tanah kebun arwah bapa, maka beliau boleh membuat dokumen persetujuan sebagaimana dinyatakan.

Namun, jika adik tidak bersetuju, abang wajib menyerahkan hak adik menurut kadar pembahagian faraid.

Status tanah kebun itu juga perlu jelas sama ada boleh didaftarkan atas dua nama atau ada sekatan tertentu.

Jika hanya dibenarkan untuk didaftarkan satu nama sahaja sebagai pemilik, maka pemilik yang didaftarkan itu bertanggungjawab sebagai pemegang amanah yang akan memberikan hasil kebun kepada waris yang layak dengan kadar ditentukan mengikut faraid.

Penulis adalah peguam syarie

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... l-harta-tanpa-waris

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 11:54 PM GMT+8 , Processed in 0.166539 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list