Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Pengisytiharan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) selain merasmikan dan melawat Galeri Bandaraya Pasir Gudang di Menara Aqabah, Pasir Gudang, hari ini. FOTO IHSAN RPO
Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan pengisytiharan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Menara Aqabah, Pasir Gudang di sini, hari ini.
Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyaksikan penyerahan suratcara oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebelum baginda membacakan titah pengisytiharan.
Hadir sama Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Datuk Bandar MBPG Datuk Asman Shah Abd Rahman.
Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan merasmikan dan melawat Galeri Bandaraya Pasir Gudang.
Pada 22 November tahun lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dinaik taraf dan diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang berkuat kuasa pada hari berkenaan.
Hasni dilaporkan berkata, MBPG adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga di Johor yang diisytiharkan menjadi bandar raya, selain Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.
Kata Hasni, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai Bandaraya Industri dan Pelabuhan dengan kelebihan mempunyai dua pelabuhan bertaraf antarabangsa selain kemudahan prasarana menyeluruh yang mengutamakan kesejahteraan rakyatnya serta lengkap memenuhi syarat keperluan sebagai bandar raya.
Justeru, Pasir Gudang wajar mendapat pengiktirafan dan status sebagai sebuah bandar raya.
Untuk rekod, kawasan pentadbiran MBPG berkeluasan 35,957 hektar, penduduknya pula berjumlah 533,868 orang selain jumlah pegangan harta sebanyak 90,758 dengan anggaran hasil berjumlah RM127.2 juta setahun.
Disiarkan pada: Disember 9, 2021 @ 3:15pm
|