CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 923|Reply: 0

Islam penggerak kedamaian

[Copy link]
Post time 31-12-2021 12:10 PM | Show all posts |Read mode
Islam penggerak kedamaian


GAMBAR hiasan

ISLAM dari segi terminologi bahasa berasal dari akar kata salam yang bererti damai. Jadi Islam itu bermaksud kedamaian dan Muslim pula adalah orang yang menggerak dan menegakkan kedamaian. Pengertian ini lahir daripada esensi Islam itu sendiri yang merupakan satu ajaran dan juga syariat yang akan menjamin kedamaian kepada seluruh umat manusia.

Jika kita perhatikan Islam yang berpaksikan tiga tonggak utama yang menegakkan binaan Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak, nescaya disimpulkan bahawa ketiga-tiga tonggak tersebut memancarkan kedamaian dan kesejahteraan dalam erti yang sebenarnya.

Dari aspek akidah, Islam merupakan satu al-Din yang membimbing dan memimpin akal fikiran manusia untuk meyakini bahawa hanya terdapat satu kekuatan mutlak yang menguasai alam semesta ini iaitu Allah taala. Oleh kerana itu, hanya Allah yang layak diagungkan, disembah, dibesarkan, ditakuti dan juga dicintai. Justeru, manusia yang memfokuskan akal fikirannya pada Yang Maha Esa akan menemui kebahagiaan dan kedamaian sejati dalam hidupnya.

Sebaliknya manusia yang meyakini banyak unsur dan banyak kekuatan itu pasti tidak akan menemui kedamaian yang dicari-cari, malah dia pun tidak akan merasa tenang tenteram kerana dia harus memenuhi kehendak banyak pihak dan juga mencari simpati banyak unsur. Segala tenaga dan juga akal fikirannya pula menjadi serba salah dan yang pastinya dia tidak akan menemui titik kedamaian tersebut. Manakala orang yang mengesakan Allah hanya mencari keredaan Ilahi dan mengabdikan dirinya hanya ke hadrat Allah Yang Maha Agung.Jika kita menelusuri aspek syariat pula, dapat disimpulkan Islam amat mengajar umatnya supaya cintakan kedamaian dan berusaha pula mencipta kedamaian sejagat dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan manusia bermula daripada sebuah institusi keluarga, sebuah masyarakat yang berdaulat dan sebuah bangsa yang merdeka. Apabila syariat Islam dihayati dan diamalkan oleh segenap anggota masyarakat, maka akan terciptalah sebuah keluarga yang memiliki ciri-ciri sakinah, mawaddah dan rahmah sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat 21)Dalam lingkungan masyarakat pula, syariat Islam  mengatur sistem muamalat yang unggul seperti urusan jual beli, sewa menyewa, upah, gadai, hutang dan sebagainya. Tujuan pensyariatan sistem muamalat Islam tersebut demi mewujudkan kedamaian. Dalam masa yang sama, Islam melarang beberapa amalan dan transaksi sebagaimana termaktub di dalam al-Quran dan hadis kerana ia berpotensi menimbulkan masalah dan konflik kepada masyarakat. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan riba, judi, arak, zina, memakan harta anak yatim secara zalim, mencuri, merompak dan sebagainya. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?" (Surah al-Maidah, ayat 91)

Arak akan menimbulkan kekeruhan dan huru hara akibat ada orang yang tidak berfikir secara normal. Judi pula akan mencetuskan bibit-bibit perbalahan dan perkelahian kerana ada rasa dengki, iri hati dan balas dendam. Manakala zina pula akan menjatuhkan maruah kemuliaan dan kehormatan seseorang atau sebuah keluarga, malah akan merosakkan sistem bermasyarakat. Hal ini kerana perzinaan akan mengkucar-kacirkan zuriat keturunan dan akhirnya menyebabkan pelaku zina dengan penderitaan batin yang amat mendalam.

Oleh kerana itu Allah melarang manusia daripada mendekati perkara yang membawa perzinaan, apatah lagi melakukannya. Untuk itu, setiap wanita Muslimah diperintahkan mengenakan jilbab, pakaian labuh yang menutupi seluruh tubuhnya dan juga memakai pakaian yang tidak memperlihatkan bentuk tubuh badannya di samping kaum lelaki pula diperintahkan supaya menundukkan pandangan mata mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 30-31)

Seterusnya, dari aspek akhlak pula, Islam menggariskan himpunan adab dan akhlak yang jika dihayati dan diamalkan secara menyeluruh akan menyerlahkan kedamaian yang diharapkan itu. Islam memerintahkan umatnya supaya saling mengingatkan ke arah kebaikan, berbuat adil kepada semua manusia walaupun kepada orang yang tidak seagama dengannya, memelihara persaudaraan sesama manusia, bahkan Rasulullah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: "Orang Muslim itu adalah seorang yang dapat memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain." (Hadis riwayat Ahmad)

Akhlak dalam Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di mana al-Quran memuji kemuliaan akhlak yang dipamerkan Rasulullah sebagaimana firman Allah maksudnya: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia." (Surah al-Qalam, ayat 4)

Ditambah lagi, Rasulullah  SAW menetapkan tujuan utama kebangkitannya mendukung agenda perjuangan risalah Islam adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak terpuji sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak yang terpuji." (Hadis riwayat Imam Malik)

Dalam erti kata lain, akhlak Islam tidak dapat dipisahkan dalam setiap gerak geri kehidupan manusia tidak kira sama ada dalam hubungannya dengan Allah mahupun hubungannya sesama manusia, malah ia merupakan antara hikmah yang paling utama di sebalik pensyariatan sesuatu ibadat dalam Islam.  

Sebagai contohnya, solat fardu yang diwajibkan Allah telah dijelaskan hikmahnya di sebalik pensyariatan mendirikan solat sebagaimana firman Allah maksudnya: "Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Begitu juga hikmah amalan zakat melalui firman Allah yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, ayat 103)   

Ringkasnya, ruang lingkup akhlak dalam Islam adalah mencakupi seluruh kehidupan kerana akhlak merupakan simbol kepada amalan kerja dan perlakuan di dalam hidup. Justeru amalan menolong orang lain adalah akhlak, kerja untuk menyara dirinya dan ahli keluarganya juga adalah akhlak, beriman kepada Allah dan menyembah-Nya adalah akhlak.

Jelas di sini bahawa Islam daripada pelbagai dimensi dan sudut merupakan al-Din yang amat menitikberatkan aspek kedamaian. Perlu ditegaskan bahawa kedamaian dan kesejahteraan yang diimpikan itu hanya akan tercipta jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin  (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... penggerak-kedamaian

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 10:35 PM GMT+8 , Processed in 0.828312 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list