View: 559|Reply: 0
|
Lebih separuh penduduk Eropah akan dijangkiti Omicron
[Copy link]
|
|
Ramalan menunjukkan lebih 50 peratus penduduk benua Eropah akan dijangkiti varian Omicron menjelang Mac 2022. - Foto AFP
COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi gambaran muram mengenai keadaan penularan COVID-19 di Eropah.
Menurut WHO, ramalan menunjukkan lebih 50 peratus penduduk benua itu akan dijangkiti varian Omicron menjelang Mac depan, manakala Bank Dunia memberi amaran varian berjangkit itu boleh merencatkan pemulihan ekonomi sejagat.
Jutaan penduduk di China sekali lagi diletakkan di bawah perintah berkurung, tepat dua tahun selepas Beijing melaporkan kematian pertama akibat apa yang kemudian disahkan sebagai coronavirus.
Varian Omicron yang lebih mudah berjangkit sudah menular di banyak negara memaksa kerajaan melaksanakan langkah sekatan baru dan program suntikan vaksin perangsang.
Namun, WHO semalam memberi amaran pemberian dos penggalak COVID-19 menggunakan vaksin sedia ada secara berulang bukan strategi terbaik dan berdaya maju terhadap kemunculan varian baharu.
Organisasi PBB itu menggesa vaksin baharu dihasilkan yang dapat melindungi dengan lebih baik terhadap penularan virus.
Pengarah WHO bagi Eropah, Dr Hans Kluge, berkata hampir lapan juta kes baru COVID-19 dicatatkan di benua Eropah dalam minggu pertama tahun ini.
Jumlah kes, katanya, naik lebih sekali ganda dalam tempoh dua minggu.
"Pada kadar ini, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan meramalkan lebih 50 peratus penduduk di rantau ini akan dijangkiti Omicron dalam tempoh enam hingga lapan minggu akan datang," katanya.
Menurut kiraan AFP, Eropah kini mencatat jumlah kes jangkitan dan kematian terbesar di dunia.
Akibatnya, ratusan ribu penduduk di Eropah terpaksa mengasingkan diri dan ini menjejas tenaga kerja.
Lantaran itu, beberapa negara telah melonggarkan sekatan bagi memastikan operasi perkhidmatan penting tidak terjejas.
WHO menekankan pentingnya vaksinasi bagi memperlahankan penularan varian Omicron.
Langkah lain yang disarankan termasuk mengawal acara-acara yang boleh mencetuskan penularan besar-besaran.
WHO juga menggesa digiatkan ujian COVID-19 terutama sekali di bandar yang banyak kes seperti London, Paris dan Berlin.
Bank Dunia pula meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam 2022 tatkala risiko Omicron memburukkan lagi kekurangan buruh dan masalah rantaian bekalan.
Dalam laporan terbarunya, Bank Dunia menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini kepada 4.1 peratus selepas meningkat semula kepada 5.5 peratus tahun lalu. - AFP
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|