
DIPINDAHKAN: Bayi lelaki serta kanak-kanak antara yang dipindahkan ke PPS Dewan Suarah Marudi susulan Kampung Padang Kerbau, Marudi dinaiki air banjir. - Gambar ihsan bomba
MIRI: Sejumlah lima keluarga membabitkan 17 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi susulan banjir besar di Kampung Padang Kerbau, Marudi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong berkata PPS Dewan Suarah Marudi dibuka pada jam 4 petang Sabtu.
"Setakat jam 6 petang semalam (Sabtu), seramai sembilan orang lelaki dan lapan orang wanita termasuk tiga bayi lelaki telah dipindahkan ke PPS Dewan Suarah Marudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Law menambah, kesemua lima keluarga itu dipindahkan segera susulan penempatan mereka berdekatan sungai Marudi yang menyaksikan paras air semakin tinggi dan sangat berisiko.
Wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Marudi, Nursusheilla Abdullah berkata antara bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir makanan malam.
Selain itu, kit kebersihan diri - Stok PKMD Marudi ( Mini Depot Miri), air mineral, toto, selimut, dan tikar (Stok PKMD Marudi, Mini Depot Miri) dengan jumlah keseluruhan bantuan RM540.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |