
Harden (enam kanan) dan Dr Sim (enam kiri) bersama yang lain menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan TBC.
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang akan mengadakan pasca nilai berhubung merosotnya sokongan pengundi kepada calon dan parti bagi kerusi Simanggang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lalu.
Pengerusi SUPP Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata pasca nilai ini katanya adalah bagi mengenal pasti kelemahan calon dan parti serta mencari penyelesaian bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Saya berterima kasih di atas sokongan para pengundi sehingga memberi kemenangan kepada saya sebagai calon GPS di kawasan N.32 Simanggang dalam PRN lalu.
“Meskipun menang namun kita secara keseluruhannya sokongan pengundi didapati merosot dan kita akan adakan pasca nilai bagi mengenal pasti kelemahan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Petugas Jentera GPS PRN12 bagi Kaum Cina dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 di salah sebuah restoran di Sri Aman, Sabtu lepas.
Pada PRN12, Harden menang dengan memperolehi 3,954 undi dengan majoriti 175 undi menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Peli Aron, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Leon Jimat Donald dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wilson Entabang.
Majlis tersebut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden SUPP dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Bersempena sambutan Tahun Baru Cina pada 1 Februari ini, Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Bakat mengingatkan mereka yang menyambut perayaan ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya usaha memerangi COVID-19 katanya masih belum berakhir dan rakyat perlu terus mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penularan.
Harden bersama Dr Sim turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas dalam kalangan masyarakat Cina yang berumur 70 tahun ke atas sempena sambutan TBC yang akan datang.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |