
REMPUH: Polis berjaya tahan suspek wanita curi kereta dan rempuh sekatan polis.
KOTA KINABALU: Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan selepas seorang wanita yang memandu kereta curi bertindak agresif ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.59 pagi itu, anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu suspek ketika menyelamatkan diri daripada dirempuh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kenderaannya dicuri oleh suspek.
“Bertindak atas maklumat, dua kereta peronda MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan kedudukan kenderaan berkenaan di sekitar Tanjung Lipat.
“Bagaimanapun, suspek wanita berumur 35 tahun itu bertindak melarikan diri walaupun sudah diarahkan berhenti menggunakan pembesar suara oleh pasukan polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, anggota trafik yang membantu operasi itu dengan membuat sekatan di simpang masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut dirempuh oleh suspek yang merikan diri menuju ke Jalan Sepanggar.
“Suspek juga menggunakan lorong kecemasan selepas jalan berlaku kesesakkan di hadapan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, Menggatal.
“Perjalanan suspek menemui jalan buntu selepas tersekat akibat terlalu banyak kereta sehingga tidak dapat bergerak di kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya, suspek sekali lagi bertindak nekad mengundurkan keretanya dengan laju dengan niat untuk melarikan diri sehingga anggota polis cedera ditangan akibat dilanggar.
“Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan bagi mengelak suspek terus bertindak agresif dan melindungi diri.
“Hasil tembakan itu, kereta berkenaan tidak dapat bergerak dan anggota polis bertindak memecahkan tingkap sebelah kiri sebelum berjaya menahan suspek.
George berkata hasil siasatan suspek turut mempunyai kesalahan lampau dan dipercayai dibawah pengaruh dadah semasa kejadian.
“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/14 |