KUCHING: Lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, Januari lalu.
Tertuduh Wendy William, 20, berasal dari Singkawang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia ditahan dalam sebuah pangsapuri mewah di Jalan Tun Jugah di sini, sekitar jam 2.50 petang, 17 Januari lepas.
Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen, hari ini.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama, kerana didapati memasuki Malaysia tanpa dokumen serta permit yang sah.
Jika sabit bersalah, boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan boleh disebat tidak melebihi enam sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.
Berhubung kes yang sama, dia juga dijatuhi hukuman penjara empat bulan di Mahkamah Majistret kerana terlibat mengendalikan mesin judi dalam talian.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Januari lepas.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan bersama empat rakan yang lain dalam satu serbuan pihak polis di sebuah rumah jenis pangsapuri mewah di Jalan Tun Jugah, kira-kira jam 3 petang, 17 Januari lepas.
Hasil siasatan mendapati tertuduh yang tiada dokumen perjalanan yang sah terlibat aktiviti judi dalam talian.
Pendakwaan kes bagi kesalahan terbabit dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
suaraswk
February 14, 2022 |