|
MACHANG: Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) tanpa kedua-dua tangan tidak menghalang Rahim Yusoff, 55, melaksanakan rutin hariannya, termasuklah memandu kenderaan.
Malah, bekas atlet paralimpik Kelantan yang bergantung sepenuhnya kepada dua kakinya itu, sudah lebih 20 tahun memandu sendiri termasuklah untuk berulang alik ke kedai jahit miliknya di Pulai Chondong, di sini.
Lebih mengagumkan, dia yang lebih mesra dengan panggilan Pok Su Mie pernah memandu sejauh 400 kilometer (km) ke Kuala Lumpur pada November lalu untuk menghadiri kursus kemahiran dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Kompleks Sukan Negara di Bukit Kiara.
"Ketika itu saya ditemani anak dan isteri. Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan sepanjang pengalaman memandu kereta, saya bernasib baik kerana belum pernah terbabit kemalangan jalan raya.
"Malah saya rasa selesa memandu menggunakan kedua-dua belah kaki serta tidak timbul masalah disebabkan rutin harian lain juga dilakukan menggunakan kaki," katanya ketika ditemui di Pulai Chondong.
Mengulas pengalamannya memandu, katanya proses mengambil lesen memandu sama seperti orang lain dan ketika itu dia perlu menggunakan kereta automatik miliknya untuk belajar memandu sehinggalah benar-benar mahir.
"Namun, saya perlu menunggu tiga tahun untuk mendapatkan lesen kereta serta kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disebabkan faktor keselamatan kerana memandu menggunakan kaki.
"Apa pun sejak dulu hingga kini, saya tetap menitikberatkan aspek keselamatan setiap kali memandu di jalan raya. Malah setakat ini belum pernah lagi saya 'dihon' walaupun ada ketikanya memandu perlahan," katanya.
Bapa kepada tiga anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun ini berkata, dia menyimpan impian untuk memandu kereta sendirian mengelilingi Semenanjung dan berharap ia bakal menjadi kenyataan satu hari nanti.
Meskipun anggota badannya kekurangan, katanya dia tidak pernah menjadikannya alasan untuk mengharapkan simpati pihak lain, sebaliknya menguatkan semangat untuk terus berdikari selain mahu mengubah tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan OKU.
"Saya melakukan pelbagai kerja seperti mengambil upah menjahit, menternak lembu, ikan air tawar dan memproses telur itik jeruk sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
"Walaupun kedua-dua tangan cacat, saya bersyukur mempunyai kaki normal yang boleh membantu saya melakukan urusan harian tanpa memerlukan bantuan orang lain.
"Saya yakin ramai lagi OKU di luar sana mempunyai kebolehan luar biasa dan apa paling penting kekuatan semangat, selain sentiasa mahu berusaha kerana status OKU bukan alasan menyusahkan orang di sekeliling selagi kita mampu melakukannya sendiri," katanya.
Rahim atau lebih dikenali Pok Su Mie yang dilahirkan tanpa tangan memandu kereta menggunakan kakinya. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|