|
PPM Wilayah Tiga merampas 70 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM525,000. FOTO ihsan PPM
Kuantan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 70 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM525,000 termasuk cukai, hasil serbuan ke atas pondok di Batu 14, Gambang, di sini tengah malam tadi.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pasukannya menyerbu pondok itu pada 12.10 tengah malam, namun dua individu yang berada di situ sempat melarikan diri ke hutan berhampiran.
Katanya, keadaan sekeliling gelap menyebabkan anggota sukar mengesan individu terbabit.
"Pemeriksaan di pondok yang berhampiran sebuah tokong itu menemui kotak berisi 3,500 karton rokok putih dipercayai tiada cukai.
"Kotak ditutup dengan kanvas dan anggota menunggu 30 minit sebelum membawa barangan rampasan ke markas untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk proses selanjutnya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mengenai penyeludupan dan kegiatan menyalahi undang-undang lain di talian 09-5137726.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|