
GILIS: Lori yang terlibat dalam insiden berkenaan.
KUCHING: Seorang pejalan kaki maut selepas digilis lori yang dipandu mengundur di Jalan Datuk Bandar Mustapha hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi itu melibatkan mangsa berumur 58 tahun.
"Sebelum kejadian, mangsa ketika itu sedang berjalan kaki menuju ke deretan kedai makan.
"Bagaimanapun mangsa dilanggar sebuah lori dipandu secara mengundur untuk mengatur kedudukan bagi memasuki sebuah bengkel yang dipandu seorang lelaki berumur 46 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Alexson, akibat perlanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, saksi di tempat kejadian akan dikesan bagi membantu siasatan dan waris mangsa turut membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2022/02/21 |