View: 344|Reply: 0
|
[Kelantan]
Rugi RM3,050 rawatan ubah perangai buruk adik tidak menjadi
[Copy link]
|
|
KOTA BHARU: Seorang kerani wanita di sebuah hospital sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membayar perkhidmatan bagi ‘mengubat’ perangai buruk adik lelakinya supaya menjadi individu yang lebih baik.
Bagaimanapun, selepas membuat tujuh transaksi bayaran kepada tiga akaun bank berlainan antara Januari hingga Februari lalu membabitkan nilai keseluruhan RM3,050, perangai buruk adiknya itu masih tidak berubah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, susulan itu, mangsa berasa dirinya telah ditipu lalu tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Krai pada 18 Mac lalu.
“Sekitar Disember lalu, mangsa berusia 35 tahun bertemu seorang wanita digelar Kak Na di Kuala Krai yang mendakwa anak dia mampu mengubati seseorang individu supaya berkelakuan lebih baik.
“Mangsa membuat bayaran kepada tiga akaun bank berlainan antara Januari hingga Februari dengan jumlah RM3,050. Dia diberitahu, bayaran terbabit akan dikembalikan semula selepas proses perubatan selesai.
“Namun selepas dua bulan berubat, adik lelaki mangsa terbabit tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang baik dan dalam masa sama mangsa juga gagal berhubung dengan suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, selepas menerima laporan mangsa, polis segera mengesan pemilik tiga akaun terbabit untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Polis Kelantan merekodkan kerugian lebih RM2 juta membabitkan 117 kes membabitkan Macau scam, parcel scam, tipu e-dagang, pelaburan tidak wujud dan pinjaman tidak wujud dalam tempoh dua bulan lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 48 kes direkodkan sepanjang Februari dengan kerugian RM853,411.67 manakala baki 69 kes lagi direkodkan pada Mac membabitkan kerugian RM1.36 juta,” katanya. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/nasion ... adik-tidak-menjadi/
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|