|
Wirtz sedia ke Barca
WIRTZ (kanan) juga sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Xavi. FOTO AFP
Berlin: Florian Wirtz menyatakan hasratnya untuk bermain bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan dia berkata demikian dalam satu sesi temu bual bersama Sky Sports Jerman.
Pemain berbakat besar Bayer Leverkusen yang berusia 18 tahun itu berkata, dia menjadikan Lionel Messi sebagai idolanya sepanjang membesar menjadi pemain bola sepak sambil mendedahkan mempunyai poster bekas kapten Barcelona itu.
Wirtz menjadi salah seorang pemain terhangat di pasaran sejak muncul bersama Bayer Leverkusen ketika umurnya 17 tahun.
Remaja dengan gelaran wonderkid itu dengan pantas mampu membuktikan dirinya sebagai watak penting buat pasukan Die Werkself itu menggantikan Kai Havertz dan berjaya menembus masuk skuad kebangsaan Jerman.
Pemain muda itu mempamerkan aksi yang luar biasa dalam kempen Bundesliga musim 2021/2022 sebelum mengalami kecederaan jangka panjang yang merencatkan prestasi sebenarnya.
Wirtz berjaya mencetak 10 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 31 penampilannya.
Pemain kebangsaan Jerman itu tidak menyedari bahawa dia sedang diintai oleh Barcelona yang juga salah satu pasukan besar Eropah.
Barcelona boleh meletakkan Wirtz sama ada dalam posisi serangan ataupun di bahagian tengah kerana dia mampu bermain di bahagian sayap atau menjadi pemain dengan peranan 'nombor 8' di dalam padang.
Wirtz juga sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Xavi Hernandez, sekali gus menjadi buruan kelab gergasi itu dan kini Wirtz sendiri mendedahkan impiannya untuk bermain bersama kelab berkenaan.
"Saya sentiasa mahu menjadi yang terbaik, sebagai seorang kanak-kanak saya bermimpi untuk bermain bersama Barcelona dan itu tidak berubah," katanya dengan menegaskan bahawa dia juga tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan Bayer Leverkusen.
Pemain antarabangsa Jerman berusia 18 tahun itu juga mendedahkan poster pemain yang ada di dalam biliknya.
"Saya sebenarnya mempunyai beberapa poster tergantung di bilik saya seperti Lionel Messi, Ousmane Dembele dan juga Pierre Emerick Aubameyang. Jersi pertama saya adalah jersi Argentina Messi. Semasa saya kecil, dia adalah pemain terbaik yang ada di dunia pada masa itu," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... irtz-sedia-ke-barca
|
|
|
|
|
|
|
| |
|