CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1217|Reply: 0

[DUNIA] Nostalgia SKC

[Copy link]
Post time 23-7-2022 12:20 PM | Show all posts |Read mode
Nostalgia SKC


MUHAMMAD Salleh menunjukkan bekas lombong bijih timah. FOTO Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: SKC merupakan nama jolokan bagi sebuah perkampungan didiami bekas pekerja sektor perlombongan yang terletak di kawasan paling utara di Selangor bersempadan dengan daerah Muallim, Perak.

Perkampungan terbabit terletak di kawasan Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor dan Sungai Bernam menjadi pemisah antara kedua-dua negeri berkenaan.

Nama SKC adalah akronim kepada Southern Kinta Consolidated Limited yang merupakan sebuah syarikat perlombongan yang mengusahakan aktiviti perlombongan.

Kawasan SKC terbahagi kepada dua kawasan iaitu Kongsi Lama yang dikenali sebagai SKC Jaya dan Kongsi Baru yang kini dikenali dengan nama Kampung Seri Keledang.

Bagi mereka yang tidak mengetahui asal usul nama SKC menyebabkan pelbagai tafsiran akan dibuat termasuklah dengan nama Sekolah Kebangsaan (SK) Cina, malah ada juga menjadikan ia sebagai bahan gurauan dengan memanggil 'Sakit Kerana Cinta.'

Di samping itu, sehingga kini orang ramai lebih mengetahui kampung terbabit dengan panggilan SKC walaupun kawasan berkenaan sudah mempunyai nama kampung tersendiri.


KAPAL yang digunakan bagi melombong bijih timah oleh Southern Kinta Consolidated Limited (SKC) di kawasan Kampung Sri Keledang dan SKC Jaya suatu ketika dahulu. FOTO Rosman Shamsudin


Kedudukan kira-kira 70 kilometer (km) dari bandar utama iaitu Kuala Kubu Bharu menjadikan pekan Slim River, Perak sebagai pekan utama bagi penduduk menjalani aktiviti harian dalam kehidupan.

Malah, bagi mereka yang dilahirkan di sini kadangkala berlaku kekeliruan indentiti kerana tinggal di Selangor namun alamatnya menggunakan poskod Slim River, Perak tapi negeri Selangor atau Perak dan lahir di Perak kerana hospital terdekat ialah Hospital Slim River, Perak.

Bekas pekerja SKC yang ketika itu bekerja sebagai Penyelia Stor Elektrik dan Mekanikal, Sharif Mudin Ahmad, 67, berkata, pembukaan kawasan perlombongan bermula sekitar 1956 di kawasan kongsi lama (SKC Jaya) kemudian pada tahun berikutnya disusuli kemasukan pekerja pula.

Katanya, pekerjanya kebanyakkan berasal dari kawasan Batu Gajah, Changkat Tin, Tanjung Tualang dan Malim Nawar serta sekitar Slim River, Perak.

"Kapal satu memulakan operasi perlombongan pada tarikh keramat negara iaitu tanggal 31 Ogos 1957 dan kemudian diikuti dengan kapal dua serta kapal tiga pula pada tahun 1980an.

"Kampung Seri Keledang yang dahulu dikenali sebagai Kongsi Baru dibuka bagi penempatan pekerja untuk operasi perlombongan kapal tiga.

"Nama Kampung Seri Keledang diberi pada tahun 1985 oleh salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Haji Shafie Baharudin dan kekal sehingga ke generasi masa kini," katanya ketika ditemui, dekat sini.


PEKERJA SKC merakamkan gambar di atas kapal. FOTO Rosman Shamsudin


Beliau yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan berkata, bijih timah yang siap diproses dihantar ke Stesen Keretapi Slim River sebagai pengangkutan bijih timah ke Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, untuk memudahkan penghantaran bijih timah ke stesen keretapi berkenaan maka pihak SKC membina sebuah Jambatan Sungai Bernam berdekatan Kampung Kuala Slim River, Slim River, Perak bagi merentasi Sungai Bernam.

Katanya, pihak SKC juga membina sebuah lagi Jambatan Sungai Bernam berdekatan Kampung Sri Keledang bagi menjalankan aktiviti perlombongan di kapal tiga yang membabitkan kawasan negeri Perak dan Selangor.

"Jambatan Sungai Bernam yang berdekatan Kampung Kuala Slim dibina baharu oleh kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

"Manakala sebuah lagi jambatan berdekatan kampung sudah ditutup kepada semua kenderaan akibat mengalami kerosakan terutama beberapa tiang sudah patah dan condong serta menunggu masa untuk roboh.

"Keadaan ini berlaku disebabkan aktiviti mengambil pasir lombong yang tidak terkawal menyebabkan struktur jambatan terbabit rosak dan kini penduduk perlu menggunakan jambatan baharu yang dibina oleh pihak swasta jika hendak menyeberangi sungai berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jumlah penduduk di Kampung Sri Keledang dan SKC Jaya ketika itu dianggarkan lebih 1,000 orang.


MUHAMMAD Salleh menunjukkan lubang yang menjadi tempat pekerja mengambil gaji. FOTO Rosman Shamsudin


Sementara itu, bekas pekerja dan penduduk Kampung Seri Keledang, Mohammad Salleh Kassim, 64, pula berkata, suasana kampung memang meriah ketika operasi perlombongan dijalankan di kawasan ini.

Katanya, semangat berkerjasama dan perpaduan antara kaum termasuk kaum Cina dan India serta Punjabi membuatkan penduduk kampung ini hidup dalam keadaan harmoni.

"Dahulu apabila tiba waktu gaji pekerja, pihak syarikat Mogah menyediakan bas pada tanggal 7 dan 21 haribulan untuk pekerja ke pekan Slim River membeli barang keperluan.

"Seminggu sekali terdapat tempat yang dikenali sebagai 'panggung wayang' di mana terdapat tayangan filem untuk pekerja menonton beramai-ramai filem tempatan dan luar negara.

"Kini, semua detik-detik kehidupan di zaman aktiviti perlombongan bijih timah di kawasan ini sudah menjadi lipatan sejarah sebagai kenangan dalam kehidupan," katanya.


FOTO kenangan pekerja SKC bermain bola sepak. FOTO Rosman Shamsudin


Beliau yang juga bekas pemandu kapal korek bijih timah yang dikenali 'Winchman' berkata, kesunyian kampung ini mulai terasa selepas operasi perlombongan dihentikan berperingkat sekitar tahun 1993 dan tutup sepenuhnya lima tahun berikutnya.

Beliau berkata, ketika itu ramai pekerja yang berpindah keluar dari kampung untuk mencari perkerjaan baharu demi kelangsungan hidup malah yang tinggal kini dan masih hidup hanya tinggal beberapa orang bekas pekerja kerana segelintir sudah dijemput ilahi.

"Bekas pekerja yang masih ada kebanyakkan usia sudah lanjut, ada juga yang masih bekerja di kampung sebagai nelayan sungai, berniaga secara kecil-kecilan dan menceburi bidang pertanian bagi menghabiskan sisa kehidupan.

"Manakala, anak-anak muda pula ada yang sudah berhijrah keluar dari kampung memulakan kehidupan baharu selepas tamat persekolahan dan ada juga ramai yang tinggal di kampung bekerja di kilang kereta dan vendor dekat Proton City, Tanjung Malim," katanya.


PANGGUNG wayang yang menjadi tempat penduduk menonton filem suatu ketika dahulu. FOTO Rosman Shamsudin

Salleh berkata, bekas pejabat SKC, panggung wayang, kelab pekerja, padang bola, gelanggang serbaguna dan jambatan uzur sahaja yang tinggal ketika ini dan sesekali terpandang maka terimbau kembali nostalgia lama yang tak mungkin berulang kembali.

Katanya, tapak kawasan lombong yang pernah menghasilkan bijih timah pula ada yang terbiar dipenuhi semak samun di samping ada juga yang menjadikan sebagai sumber air bagi menjalankan aktiviti pertanian.

Upah RM9 jahit guni

"Saya masih teringat lagi selepas pengawal keselamatan menahan saya ketika dalam perjalanan pulang kerana mereka mengesyaki saya mengambil bijih timah," kata penduduk Kampung Seri Keledang, Rasaimah Suhaimi, 66, yang pernah bekerja sebagai penjahit guni bijih timah.

Rasaimah berkata, setiap pekerja akan ditimbang terlebih dahulu ketika masuk ke tempat penyimpanan bijih timah dan sewaktu hendak pulang ke rumah bagi mengelak kecurian berlaku.

Katanya, pengawal keselamatan ketika itu tidak perasan yang beliau sedang mengandung anak ketujuh yang menyebabkan perut agak membesar dan nampak seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu.

"Ketika ditahan oleh pengawal keselamatan tiba-tiba salah seorang pekerja dan juga rakan saya terus meninggikan suara memaklumkan saya tengah mengandung lalu pengawal terus tidak jadi melakukan pemeriksaan.

"Ketika itu, upah yang dapat daripada hasil menjahit guni bijih timah hanya kira-kira RM9 untuk separuh sehari dan ia bergantung kepada stok bijih timah serta kadangkala lebih daripada itu bagi menambah pendapatan keluarga," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Beliau yang berasal dari Kampung Kinjang, Tapah, Perak dan berpindah ke kampung ini pada 1973 berkata, pengalaman mengambil upah menjahit guni bijih timah masih segar dalam ingatan dan kini menjadi nostalgia seolah-olah baru semalam berlaku.

Mengenai kemudahan yang terdapat di kampung ini, beliau berkata, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mempunyai banyak jasa membangunkan kampung berkenaan.


RASAIMAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika beliau melawat Kampung Seri Keledang. FOTO Rosman Shamsudin


"Ini termasuk pembinaan sekolah rendah, sekolah agama, balai raya, masjid, jalan dan banyak lagi kemudahan penduduk di sini.

"Ramai juga anak muda yang berjaya dan menjawat jawatan tinggi di sektor kerajaan dan swasta tetapi kebanyakannya tinggal di luar kampung ini," katanya.

Beliau yang juga ibu tunggal selepas suaminya, Hamdzah Mat yang juga bekas pekerja SKC meninggal dunia pada tahun 1998 akibat penyakit strok berkata, walaupun kampung ini agak jauh dari pekan terdekat iaitu kira-kira 10 kilometer (km) dari Slim River namun beliau tetap memilih kampung ini untuk meneruskan kehidupan seharian.

Sementara itu, bekas jurukimpal SKC, Mohd Radzi Othman, 61, pula berkata, sesekali bila teringat zaman ketika bekerja di kapal bijih timah beliau akan menceritakan kembali kepada anak-anak sebagai pengkongsian dalam kehidupan.

Katanya, suasana bekerja di kapal korek memang tidak dilupakan di mana semua pekerja bekerja dengan semangat kerja berpasukan dan sering terdengar suara gelak tawa dan gurauan ketika bekerja.

"Kisah ini sudah menjadi sejarah buat kampung ini dan sudah pasti tidak berulang kembali serta kini menjadi nostalgia dalam kalangan bekas pekerja yang pernah bekerja di sektor perlombongan.

"Generasi muda perlu bersatu hati dan berkerjasama meneruskan kesinambungan membangunkan kampung ini pada masa kini untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/07/864261/nostalgia-skc

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 02:32 AM GMT+8 , Processed in 0.050450 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list