CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 556|Reply: 0

BPA ganggu hormon

  [Copy link]
Post time 28-7-2022 08:55 PM | Show all posts |Read mode
BPA ganggu hormon


GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Penggunaan puting atau botol susu tiruan mengandungi kimia Bisphenol A (BPA) boleh memberi kesan kepada sistem endokrin bayi sekali gus mengganggu proses tumbesaran.

Pakar Kanak-Kanak Dr Mohd Zuraizi Jaafar berkata, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan BPA mempunyai risiko gangguan hormon kanak-kanak, pembesaran hormon otak dan hormon tulang dan seks.

Katanya, ia boleh mengakibatkan gangguan hiperaktif selain BPA terhasil daripada bahan plastik yang dipanaskan boleh meresap di dalam susu formula dibancuh menggunakan botol susu berkenaan.

"Walaupun BPA ini akan dikeluarkan daripada badan dalam tempoh masa 24 jam, namun kesannya kepada pertumbuhan dan tumbesaran bayi masih merisaukan.

"Justeru golongan ibu dinasihati supaya kekal menyusu badan sehingga bayi mencapai usia dua tahun.

"Namun jika terpaksa menggunakan susu formula dan botol susu, pilihlah botol susu yang bebas BPA dijual di pasaran," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, amalan berjimat cermat oleh ibu bapa ketika membeli botol susu murah dianggap tidak berbaloi dengan kesan sampingan diterima anak.

"BPA menyebabkan kesan jangka panjang sehingga dewasa. Walaupun botol susu dan puting susu yang bebas BPA agak mahal, namun ia tidak mempunyai kesan yang boleh menjejaskan kesihatan anak-anak secara keseluruhan," katanya.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pengharaman penjualan botol susu polikarbonat (PC) yang mengandungi BPA di pasaran tempatan berkuatkuasa 1 Mac 2012.

Ini kerana BPA adalah bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan produk plastik PC termasuk botol susu apabila ia menghasilkan ciri keras dan jernih.

Sebelum ini, keselamatan penggunaan BPA mula menjadi perhatian umum terutamanya pengguna, media massa dan penyelidik apabila ia didakwa boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon dan fungsi badan.

Pemerhatian menerusi forum kesihatan di laman sosial menunjukkan sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa botol susu PC yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh mereka yang berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

Malah, kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), WHO dan European Food Safety Authority (EFSA) juga menunjukkan masih terdapat kekangan dan ketidakpastian dalam kajian saintifik mengenai keselamatan BPA.

Beberapa negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah dan beberapa negeri di Amerika Syarikat juga mengambil langkah yang sama.

Sebagai alternatif, terdapat banyak lagi pilihan botol susu lain di pasaran yang diperbuat daripada pelbagai bahan plastik bukan BPA.

Pengguna khususnya ibu bapa, boleh membuat pilihan botol susu bebas BPA daripada pelbagai jenama dan reka bentuk yang boleh didapati di pasaran sama ada keluaran tempatan mahupun yang diimport mengikut kemampuan masing-masing.

Dr Mohd Zuraizi berkata, pengguna boleh memilih botol yang tertera label 'BPA-free' (bebas BPA) yang terdapat pada botol atau pembungkus botol susu.

"Kita boleh lihat pada bungkusan atau botol yang mempunyai simbol kitar semula nombor 7 dengan perkataan PA bagi botol yang diperbuat daripada polyamide atau perkataan PES bagi botol yang diperbuat daripada polyethersulfone," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik Dr Sharifah Aida Alhabshi berkata, kajian mendapati kekurangan nutrisi dan diet tidak seimbang menjadi penyumbang utama kepada masalah kanak-kanak bantut di negara ini.

"Faktor kanak-kanak bantut turut berpunca pemakanan tidak seimbang selain genetik dan hormon.

"Jika tumbesaran anak itu terbantut, ibu bapa perlu tahu apa faktornya supaya boleh dirawat. Turut menyumbang kepada tumbesaran adalah senaman dan tidur yang cukup," katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa dinasihati mengamalkan pemakanan seimbang dan cara hidup sihat.

Gesa beri subsidi beli puting bebas BPA

Kerajaan digesa menyediakan subsidi khusus untuk golongan sasar membeli puting dan botol susu berkualiti dan bebas kimia Bisphenol A (BPA).

Ia bagi menjamin proses penyusuan bayi adalah selamat selain memastikan tumbesaran normal pada bayi yang menggunakannya.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, subsidi atau bantuan kewangan khas itu mampu mengelakkan ibu bapa mendapatkan botol atau puting susu tiruan yang tidak bermanfaat kepada bayi.

"Seperti keperluan asas lain, kesihatan di peringkat awal kelahiran bayi amat penting dan perlu diberi perhatian.

"Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyediakan bajet khas di dalam belanjawan negara bagi memastikan golongan sasar terutama B40 mendapat kemudahan ini.

"Satu mekanisme menyeluruh membabitkan integrasi bersama beberapa jabatan perlu dilakukan supaya kita dapat mengenalpasti mereka yang benar-benar layak untuk dibantu," katanya.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai faktor sosioekonomi dan latar belakang keluarga yang menyebabkan pembelian botol susu dan puting tiruan mengandungi kimia BPA.

Mohd Afiq berkata, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia itu perlu disemak bersama maklumat penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menentukan penerima yang layak.

"Ia satu lagi elemen yang mungkin terlepas pandang hingga mampu mengancam kesihatan bayi. Jika tidak ditangani, ia akan memberikan masalah bukan saja kepada keluarga, malah generasi seterusnya," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/07/865797/bpa-ganggu-hormon

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 06:34 AM GMT+8 , Processed in 0.057283 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list