|
Pekerja sedang melakukan kerja menjalin tali bersama kayu untuk dijadikan bidai. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Terengganu: Walaupun mempunyai saingan, permintaan terhadap bidai tradisional buatan tangan masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.
Pembuat bidai Mohd Syamsuddin Embong, 49, atau dikenali sebagai Pok Din dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, berkata dia kini adalah satu-satunya individu yang mengusahakan pembuatan bidai tradisional di negeri ini.
Menurutnya, perusahaan itu diwarisi daripada abangnya sejak lebih 50 tahun lalu dengan menggunakan kayu gerutu dan tali yang dijalin untuk menghasilkan bidai.
"Bidai dihasilkan bermula dengan lebar 12 sentimeter (sm) sehingga 144sm dengan panjang atau labuh bidai bergantung kepada permintaan pelanggan.
"Kelebihan bidai yang dihasilkan secara manual ini adalah ketahanannya yang boleh mencecah sehingga 10 tahun dan bergantung kepada cara penggunaan," katanya yang mewariskan pembuatan bidai itu kepada anak saudaranya Hafizuddin Razali, 30.
Menurutnya, dia menerima tempahan dari seluruh negeri termasuk luar Terengganu dan paling teruja apabila bidai yang dihasilkannya pernah ditempah pelanggan dari Belanda.
Katanya, dia gembira apabila anak saudaranya sanggup mempelajari teknik pembuatan bidai tradisional ini kerana dia turut bimbang hasil kerja tangan itu akan lenyap ditelan zaman.
"Walaupun nampak mudah dan ringkas, bidai ini sukar untuk dihasilkan jika tiada ilmu kerana setiap tali untuk dijalin kayu bidai akan menggunakan pemberat bagi mengemaskan jalinan antara kayu.
"Selain itu, kayu yang dijadikan bidai juga perlu ditempah berikutan ukurannya yang nipis dan amat sukar untuk dipotong sendiri," katanya.
Sementara itu, pelanggan Norzaifa Mohd, 49, berkata dia sanggup memandu dari rumahnya di Dungun ke Kuala Terengganu untuk membuat tempahan bidai kerana tertarik dengan hasil kerja tangan berkenaan.
"Kalau diikutkan sudah tentu beli bidai sudah siap (yang dihasilkan dengan mesin) di kedai lebih mudah, namun bagi saya menempah bidai ini lebih memberi kepuasan dan mengikut citarasa berikutan kualiti, warna dan ukuran boleh dipilih dan ditentukan sendiri.
"Selain itu, pembuatannya dilihat kemas selain tukang bidai akan datang memasangnya di rumah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rutu-tahan-10-tahun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|