|
Pelbagai cara unik dan kreatif digunakan guru dalam usaha memastikan pelajar memahami sesuatu perkara dengan mudah.
Pada masa sama, ia juga mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan di dalam kelas.
Malah, kini terdapat kaedah pembelajaran VAK iaitu visual, auditori dan kinestetik yang menggunakan tiga jenis deria iaitu penglihatan, pendengaran dan pergerakan.
Begitulah yang dialami seorang guru sewaktu mengajar berkaitan sejarah yang mana salah seorang muridnya mempunyai sifat ingin tahu yang menebal.
Menurut Asraf Selajudin di Facebook, muridnya bertanya kedudukan negara Itali di dalam peta.
Menurut guru tersebut, dia terus menghulurkan kepada murid berkenaan sekeping kertas yang memaparkan peta benua Eropah tanpa dinyatakan nama negara.
"Aku sebut, Kalau nak tahu kat mana negara Itali, cuba kamu cari gambar kaki perempuan pakai kasut tumit tinggi dalam peta ini.
"Kemudian cari dua ketulan batu paling besar di sebelah kakinya. Bila dah jumpa, bulatkan dengan marker merah ini. Dekat situlah negara Itali," katanya mengimbas kembali bagaimana dia memberi penjelasan kepada murid berkenaan.
FB Asraf Selajudin
Dengan wajah yang ceria, murid berkenaan menjelaskan bahawa panduan yang diberikan oleh guru membolehkannya mendapat jawapan dengan mudah.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji cara guru berkenaan mengajar yang turut dilihat membantu meningkatkan daya ingatan dalam kalangan orang dewasa.
Malah, mereka mengagumi murid tersebut kerana memberi tumpuan kepada penerangan gurunya sehingga membolehkannya mendapat jawapan dengan mudah.
Dalam pada itu, Cikgu Asraf di ruangan komen menjelaskan bahawa sebagai guru, dia perlu menyampaikan ilmu secara kreatif terutama melibatkan fakta seperti sejarah.
"Kalau ajar macam level PhD (Doktor Falsafah), hilang minat budak tu," katanya.
Sumber: mStar |
|