Pelakon Hollywood Angelina Jolie, melawat Pakistan untuk menarik perhatian antarabangsa mengenai banjir yang melanda negara itu ketika banyak negara terus menghantar bantuan.
Beliau mengunjungi daerah Dadu di wilayah Sindh pada Selasa, dan bertemu mangsa banjir, lapor saluran televisyen Pakistan.
Guillermo Legaria/Getty Images
Lebih 33 juta penduduk terjejas oleh bencana banjir itu berikutan hujan lebat monsun sejak pertengahan Jun.
Jumlah kematian melepasi 1,550, termasuk beratus-ratus kanak-kanak, dan kira-kira 13,000 lagi cedera.
Bantuan antarabangsa berterusan tiba di Pakistan, dengan Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi antara pembekal utama barangan bantuan.
Kedua-dua negara menghantar berpuluh-puluh penerbangan bantuan sejak Ogos ketika pihak berkuasa Pakistan bertungkus-lumus menangani bencana di wilayah Sindh, Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa.
Sejak Isnin, dua penerbangan bantuan tiba di lapangan terbang Karachi dari Oman, satu dari Dubai dan sebuah lagi penerbangan yang diatur UNICEF.
Turkiye dan UAE menghantar paling banyak bantuan menerusi udara selain menggunakan tren oleh Turkiye.
Enam "Tren Ikhlas" Turkiye berlepas pada Selasa manakala enam lagi bakal menyusul pada minggu-minggu akan datang, menurut laporan media Pakistan.
Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa memaklumkan institusi itu 'sedang berusaha untuk segera menyediakan pakej bantuan serta pemulihan."
"Ia disediakan bagi membantu penduduk, kehidupan mereka dan infrastruktur segera serta untuk jangka panjang," menurut ADB sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan diberikan apabila pakej bantuan dimuktamadkan.
Sumber: BERNAMA |