|
Sukarelawan membantu penduduk Kampung Dato' Sulaiman Menteri yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Banjir kilat yang berulang kira-kira 10 kali mulai awal tahun hingga kini, menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk Kampung Dato' Sulaiman Menteri di sini.
Penduduk, Ismail Mamat, 65, berkata, masalah banjir kilat bagaikan tiada kesudahan di beberapa kawasan perkampungan itu kerana setiap kali hujan lebat, kawasan berkenaan berdepan risiko banjir kilat.
Menurutnya, bukan saja terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda, bencana berkenaan juga menimbulkan pelbagai tekanan kepada penduduk.
"Saya sudah menghuni perkampungan ini lebih 30 tahun dan hanya kebelakangan ini kejadian kerap berlaku dan kadang-kala air mencecah hingga paras lebih setengah meter.
"Ketika banjir kilat, sudah tentu kami panik kerana perlu bertindak pantas menyelamatkan diri, selamatkan dokumen penting selain barangan bernilai tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.
Ismail berkata, selepas air banjir surut, mereka juga perlu meluangkan masa hampir empat hingga enam jam untuk membersihkan kediaman dan halaman rumah.
"Bayangkan nasib penduduk kampung yang sudah dimamah usia seperti saya, kami letih berdepan situasi seumpama ini," katanya.
Sementara itu, Salamiah Jasmil, 50, berkata, dia tidak menolak kemungkinan sistem saliran yang tidak bersistematik menjadi menyumbang banjir kilat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dia sudah menghuni di kawasan itu melebihi 20 tahun dan mendapati masalah timbul apabila kawasan sekitar membangun dengan rancak.
"Ada beberapa taman perumahan baharu dibina termasuk pangsapuri namun longkang dan parit di perkampungan ini tidak dinaik taraf mengikut pembangunan dijalankan.
"Sistem perparitan lama tidak dapat menampung air hujan lebat hingga berlakunya banjir kilat," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Era Suria (YES) Johor Zulkifli Bujang berkata, dia bersama sekumpulan sukarelawan turut membantu mangsa banjir dengan aktiviti pembersihan selain sumbangan barangan dapur.
Menurutnya, dia menggesa agar pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat terus berlaku.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -penduduk-dah-letih |
|