|
SEBUAH treler yang terbabit kemalangan dan menyebabkan tumpahan diesel. FOTO Ihsan bomba.
Seremban: Sebuah treler membawa muatan papan solar yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Bukit Nenas menghala ke Sendayan dekat jejambat Bukit Kepayang, di sini, pagi tadi, menyebabkan diesel tumpah di jalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, pemandu treler didapati tersepit di dalam kenderaan berkenaan dan mengalami kecederaan parah, manakala pemandu kereta jenis Perodua Axia tidak mengalami kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 6.42 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 bergegas ke lokasi.
"Kemalangan membabitkan sebuah treler dengan sebuah Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun yang berjaya keluar sendiri dari kereta dan tidak mengalami kecederaan.
"Sementara, pemandu treler seorang lelaki berusia 51 tahun didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan. Mangsa yang cedera di bahagian kaki, tangan dan kepala diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, akibat tumpahan diesel, kerja pembersihan dilakukan pihak bomba.
"Atas faktor keselamatan, jalan itu ditutup kepada kenderaan untuk dilalui sehingga kerja pembersihan selesai.
"Semua pengguna jalan raya di kawasan yang menuju ke Sendayan boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persiaran Utama Seremban 2, manakala laluan dari Sendayan ke Bandar Seremban dilencongkan ke susur lampu isyarat Bukit Kepayang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-kemalangan-treler |
|