|
Ular sawa batik yang ditangkap di anggota bomba di kandang kambing di FELDA Inas, Kulai. - Gambar ihsan Bomba
KULAI: Ular sawa batik dianggar seberat 80 kilogram dan panjang enam meter, ditemukan dalam keadaan kekenyangan dalam kandang kambing di Jalan Cendana 6, FELDA Inas, di sini pagi tadi.
Reptilia berkenaan dipercayai menelan seekor kambing betina selepas pemilik ternakan itu mendapati haiwan berkenaan hilang dan tidak dapat dikesan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.21 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai ke lokasi.
"Tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati ular sepanjang enam meter itu dalam kandang kambing. Penternak mendakwa ibu kambing miliknya hilang, dipercayai dibaham ular sawa berkenaan.
"Bomba kemudian menangkap ular itu sebelum dilepaskan di kawasan jauh dari petempatan penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Anggota bomba membawa keluar ular sawa batik dari kandang kambing di FELDA Inas di Kulai. - Gambar ihsan Bomba
Katanya, ini kejadian pertama pihaknya menerima aduan seumpama itu di kawasan FELDA berkenaan.
"Kejadian ini tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi tamat pada jam 8.21 pagi," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... lam-kandang-kambing |
|