CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 465|Reply: 1

[Johor] 'Walau penat kugagahi jua'

[Copy link]
Post time 9-10-2022 11:30 AM | Show all posts |Read mode

HASHIM bersama cucunya sebelum bergerak ke tempat kerja di Singapura.

Johor Bahru: Demi mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup, ribuan rakyat Malaysia sanggup berkorban dan mengetepikan penat lelah mengharungi perjalanan dengan menunggang motosikal ke Kota Singa hampir setiap hari.

Tanpa mengira jantina dan usia, siapa sahaja yang berasakan diri kental, pasti mampu berkorban setiap hari ulang-alik antara dua negara, semata-mata untuk melunaskan tanggungjawab ke atas komitmen hidup mereka di Malaysia.

Bagi Nur Aisyah Zulkpeli, 29, walaupun pada mulanya merasai kesukaran sehingga hampir berputus asa, namun dengan semangat cekal, dia mampu mengharungi kehidupan seperti itu.


"Saya mula bekerja di Singapura pada 2017. Ketika itu, saya gunakan pengangkutan awam iaitu bas dan setiap hari, saya perlu naik bas jam 3 pagi.

"Jika naik bas, saya perlu bangun lebih awal selain perlu beratur beramai-ramai. Ada kalanya saya terlewat dan terlepas bas. Jika berlaku kesesakan lalu lintas, saya terpaksa turun dari bas dan berjalan kaki.

"Selepas dua tahun naik bas, saya ambil keputusan beli motosikal. Ia membolehkan saya merancang waktu perjalanan. Bagaimanapun, ada cabaran lain pula.

"Jika melihat penunggang lain menunggang laju, saya terpaksa ke tepi kerana risau terbabit kemalangan," katanya yang pernah beberapa kali menolak motosikal akibat rosak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Nur Aisyah yang bekerja dalam perkhidmatan penghantaran di Woodlands berkata, berdepan dengan kesesakan lalu lintas selain kerap basah kuyup untuk ke tempat kerja adalah perkara biasa dilaluinya.

"Ada kalanya, hujan melanda ketika mahu keluar bekerja pada waktu pagi. Walaupun basah, saya terpaksa hadapinya.

"Pada masa sama, jika hujan lebat, barisan untuk mengimbas pasport juga menjadi panjang dan lambat. Itu semua cabaran dan menyebabkan ramai dalam kalangan kami lewat tiba ke tempat kerja," katanya.

Menurut Nur Aisyah, dia pernah bekerja kilang di Malaysia, namun memandangkan komitmen yang tinggi, dia terpaksa beralih angin.



NUR Aisyah guna motosikal bagi membolehkannya merancang waktu perjalanan.

"Saya mempunyai komitmen yang agak banyak menyebabkan saya rasa pendapatan di Malaysia sebelum ini tidak mencukupi. Saya nekad berhenti kerja 24 jam dan terus ke Singapura untuk mencari pekerjaan.

"Saya pilih bekerja di Singapura kerana pertukaran mata wang yang besar. Saya hendak tanggung keluarga dan pelbagai lagi perkara lain.

"Ketika mula bekerja, ada yang kata kita akan dilayan dengan kurang baik, namun ia hanya sekadar cakap-cakap orang saja. Alhamdulillah, setakat ini, semuanya baik-baik saja," katanya.

Nur Aisyah yang masih bujang berkata, perjalanan dari rumahnya di Kampung Melayu Pandan di sini, ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) hanya mengambil masa antara 15 ke 20 minit.

Namun, katanya, apabila tiba di bahagian pemeriksaan imigresen, ia akan mengambil masa yang agak lama malah pernah mencecah hampir dua jam sebelum berjaya melepasi sempadan berikutan masalah teknikal.

"Waktu kerja saya adalah daripada jam 8 pagi hingga 5 petang. Saya perlu keluar rumah seawal selepas Subuh," katanya yang akan terus bekerja di Singapura selagi diizinkan Allah SWT.

Bagi Hashim Mohd Serman, 58, pula, berdepan kesesakan lalu lintas, berpanas dan berhujan, bukan alasan, sebaliknya dia sanggup mengharungi situasi itu demi mencari rezeki di republik berkenaan sejak 1997.

Katanya, dia menunggang motosikal dari rumahnya di Gelang Patah setiap hari ke tempat kerja untuk mencari nafkah buat isteri, Kalsom Abdullah serta enam anak yang ketika itu masih kecil.

"Memang dugaan banyak bila kerja macam ini, tetapi ia semua perlu dihadapi. Saya ada tanggungjawab, komitmen pun banyak seperti mahu membayar ansuran rumah, kereta, bil dan pelbagai lagi," katanya yang bekerja sebagai pengangkat sampah di Singapura.

Berkongsi pengalamannya, Hashim berkata, bukan sekadar motosikal rosak malah tayar jentera itu beberapa kali pancit ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Saya pernah terfikir untuk berhenti kerja, namun demi isteri dan anak, saya kuatkan semangat dan alhamdulillah, saya masih bertahan hingga kini. Sudah masuk 25 tahun saya bekerja di Singapura," katanya.

Menurutnya, isteri dan anak sentiasa menyokong dan tidak pernah memaksa dia untuk terus bekerja ataupun berhenti.

"Saya ada merancang berhenti kerja akhir tahun ini, tetapi kerana fikirkan seronok juga kerja seperti ini, jadi mungkin saya nak teruskan kerja untuk setahun dua lagi," katanya.

Hashim berkata, masalah kesesakan di pintu masuk negara memang berlaku sejak dahulu lagi, namun dia kini sudah beralih menggunakan CIQ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah menyebabkannya tidak lagi berdepan kesesakan teruk, malah lebih dekat dengan rumahnya.

"Saya sudah tujuh tahun bekerja pada syif malam, jadi kurang saya berdepan kesesakan kerana keluar rumah jam 5 petang, cuma hanya perlu berdepan cuaca yang tidak menentu," katanya yang dikurniakan 10 cucu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -penat-kugagahi-jua

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 9-10-2022 03:28 PM | Show all posts
tahniah...moga ramai lg p sana

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 06:27 AM GMT+8 , Processed in 0.034335 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list