View: 231|Reply: 0
|
[Terengganu]
'Banjir kali ini luar biasa'
[Copy link]
|
|
TUAN Dalam bersama isterinya Che Ku Fatimah melihat bahagian dapur rumahnya di Kampung Lubuk Erong, yang berlaku hakisan akibat banjir yang berlaku. FOTO Nazdy Harun
Kuala Berang: "Banjir kali ini luar biasa," kata Tuan Dalam Tuan Enduk, 69, dari Kampung Lubuk Erong, ketika menceritakan detik cemas dihadapinya bersama isteri, Che Ku Fatimah Che Ku Yatim, 63, ketika bah besar melanda minggu lalu dan mengepung rumah mereka.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila hujan lebat mengakibatkan berlaku limpahan air sungai.
"Air Sungai Telemong melimpah memasuki ke Sungai Chepoh sebelum melalui alur Sungai Kuala Menuang yang terletak di belakang rumah kami sebelum mengalir keluar ke Sungai Terengganu.
"Saya yang tinggal berdua bersama isteri hanya mampu berdoa kerana ketika itu air melimpah dengan mendadak hingga mengakibatkan tiang di bahagian dapur rumah tumbang.
"Selain itu pokok yang berada di tebing alur Sungai Menuang, yang terletak di belakang rumah saya juga tumbang dan kejadian awal pagi itu amat menakutkan," katanya.
Menurutnya, kejadian banjir minggu lalu itu mirip kejadian yang berlaku 18 tahun lalu yang mengakibatkan separuh rumahnya roboh dibawa arus.
Katanya, dia bersyukur walaupun berlaku hakisan tebing sejauh lebih 50 meter panjang dan 10 meter lebar namun kejadian itu tidak mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Tuan Dalam berkata, alur Sungai Menuang, pada musim biasa tidak mempunyai air namun ketika musim banjir ia menjadi laluan air dari dua sungai yang melimpah untuk keluar ke Sungai Terengganu.
Tambahnya, banjir kali ini disifatkan luar biasa kerana limpahan air yang bergerak dengan laju mengakibatkan tebing alur sungai terhakis dengan teruk hingga menumbangkan pokok buah-buahan yang berada di tebingnya.
Menurutnya, pihak berwajib sudah datang melihat keadaan hakisan berkenaan kerana ia terlalu hampir dengan bahagian dapur rumahnya.
Katanya, air yang melalui alur di belakang rumahnya juga turut melimpah dan menenggelamkan perkarangan rumahnya sedalam 0.5 meter.
Menurut Tuan Dalam, dia memilih tidak berpindah walaupun rumahnya terkepung dengan banjir kerana berdasarkan pengalaman, biasanya ia tidak berlarutan kerana kedudukan rumahnya berhampiran sungai utama.
Bagaimanapun katanya, dia sudah melakukan persiapan dengan menempatkan bot gentian kaca bagi memudahkan mereka berpindah sekiranya keadaan sudah tidak terkawal.
Tambahnya, alur sungai di belakang rumahnya surut sepenuhnya semalam dan alur itu hanya berfungsi apabila berlaku limpahan air sungai saja setiap tahun.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kali-ini-luar-biasa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|