|
SALAH seorang mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kuala Terengganu. FOTO Rosli Ilham.
Dungun: Sembilan lelaki warga asing melecur selepas dapur gas di rumah kongsi mereka di Felda Kerteh 2, meletup 9 malam tadi.
Ketika kejadian, kesemua mangsa warga Nepal dan Bangladesh sedang memeriksa dapur selepas terbau gas.
Seorang mangsa, Baijanath Khatbe, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama 19 rakan lain sedang berehat di rumah kongsi terbabit selepas selesai makan malam dan seorang daripada mangsa terbau gas di dapur sebelum membuat pemeriksaan.
"Ketika membuat pemeriksaan, rakan gagal mengesan punca bau gas itu sebelum memanggil rakan lain untuk membantu," katanya.
Katanya, tiba-tiba berlaku letupan sebelum api besar menyambar dan mereka semua terduduk di lantai .
"Saya tidak tahu bagaimana letupan itu boleh berlaku, kerana ketika itu tiga rakan sedang cuba membaiki dapur gas.
"Kami ketika itu panik kerana masing-masing mengerang kesakitan sebelum rakan-rakan lain yang sudah masuk tidur bergegas ke dapur membantu kami," katanya yang melecur pada bahu kanan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nandlal Sah Haluwai, 41, berkata, dia bersama rakan-rakannya baru empat hari datang untuk bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit.
Menurutnya, letupan itu sangat kuat sehingga menyebabkan dia melecur di bahagian muka, kaki dan tangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
"Seorang mangsa pula ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawatan lanjut manakala dua lagi yang melecur ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-dapur-gas-meletup |
|