|
JUNIZA Ibrahim (tengah) bersama anaknya, Duranni Iman yang menghidap komplikasi sakit jantung dan jangkitan paru-paru dan Damiaa Maisarah (terlantar) menghidap kanser otak tahap empat ketika ditemui di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
31 Disember 2022, 7:30 am
KUALA PILAH: Sepasang suami isteri tetap tabah meskipun diuji seorang anak mereka menghidap komplikasi jantung dan jangkitan paru-paru manakala seorang lagi menghidap kanser otak tahap empat di Kampung Sungai Dua Besar, dekat sini.
Duranni Iman Mohd. Fairus, 6, dan Damiaa Maisarah Mohd. Fairus, 2, kedua-duanya perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh keluarga.
Menurut ibu mereka, Juniza Ibrahim, 37, anak keduanya, Duranni Iman menghidap komplikasi sakit jantung dan jangkitan paru-paru sejak lahir dan perlu menggunakan oksigen sepenuhnya selama 24 jam.
Anak ketiganya pula, Damiaa Maisarah, 2, kini terlantar akibat menghidap kanser otak tahap empat sejak bulan November tahun lalu.
“Duranni Iman masih mampu bermain seperti kanak-kanak lain namun perlu memakai oksigen kerana kadang-kala dia berasa tidak selesa dan memerlukan oksigen untuk bernafas.
“Alhamdullilah, setakat ini saya sudah mendapatkan rawatan untuknya dan dia pernah melakukan pembedahan pada 2017.
“Kini, dia perlu mendapatkan rawatan sebanyak empat bulan sekali manakala ke Institut Jantung Negara (IJN) pula setiap sekali setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Sungai Dua Besar, di sini semalam.
Menurutnya lagi, Duranni Iman ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan turut mendapat sumbangan bekalan susu dari pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Sementara itu, kata Juniza, keadaan Damiaa Maisarah sebelum ini adalah normal namun sejak bulan Ogos tahun lalu, kepala anaknya itu semakin membesar sehingga membimbangkan dirinya.
“Saya mula rasa tidak sedap hati dan membawa dia mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
“Selepas itu dia dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Tunku Azizah (HTA) pada bulan lalu dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser otak tahap empat.
“Sehingga sekarang, doktor memaklumkan risiko agak tinggi untuk menjalankan sebarang pembedahan. Doktor juga memaklumkan sebelah kanan tumornya sudah merebak ke sebelah kiri dan turut menyerang saraf tunjang sehingga menyebabkan dia tidak boleh bangun dan terlantar sepenuhnya,” katanya.
Dia turut memberitahu, anaknya itu perlu diberikan minum susu sebanyak lapan kali sehari.
Juniza menambah, suaminya, Mohd. Fairus Amsah @ Hamzah, 37, merupakan seorang pemandu lori dan hanya menerima pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan.
“Saya tidak boleh bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami.
Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi nombor akaun 0599541100222044 (BSN) atas nama Juniza Ibrahim atau boleh menghubunginya menerusi nombor telefon 011-14325209. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... ap-penyakit-kronik/ |
|