View: 329|Reply: 0
|
[Terengganu]
Sembilan tahun bawa kereta tiada cukai jalan
[Copy link]
|
|
Kuala Nerus: Keterujaan pasangan suami isteri bersama dua anak serta bapa meraikan sambutan tahun baru di bandaraya ini 'terencat' apabila kereta mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melaksanakan Operasi Khas Ambang Tahun Baru 2023, malam tadi.
Perodua Myvi dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an itu disita selepas cukai jalan kenderaan terbabit tamat tempoh sejak sembilan tahun lalu.
Berikutan kesalahan itu, pasangan terbabit terpaksa menumpang kenderaan saudara mereka untuk pulang ke rumah di Kampung Tok Saboh, Besut.
Difahamkan, keluarga terbabit bertolak dari Besut secara konvoi membabitkan tiga kereta ke bandaraya ini untuk melihat kemeriahan suasana sambutan tahun baru di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge).
Kakak kepada pemandu Perodua Myvi itu yang enggan namanya disiarkan berkata, meskipun sudah mengetahui tiada pertunjukan bunga api, namun mereka sanggup meredah perjalanan sejauh lebih 100 kilometer untuk melihat suasana malam tahun baru yang dikatakan meriah di sekitar Drawbridge.
"Sudah agak tidak ada pertunjukan bunga api, tetapi saja datang nak tengok suasana sambutan menjelang tahun baru di sini (Kuala Terengganu).
"Saya pun tidak tahu kereta adik bawa ini cukai jalan mati sejak 2013," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Hadapan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Dalam operasi sama, sebuah Perodua Kancil turut disita kerana memiliki cukai jalan yang tamat tempoh sejak 2020.
Selain kenderaan terbabit, JPJ turut menyita sebanyak 50 motosikal kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki cukai jalan dan cukai jalan tamat tempoh.
Operasi diketuai Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yassin turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dilakukan serentak di seluruh negeri berakhir jam 2 pagi tadi.
Anggota JPJ memeriksa Perodua Myvi milik keluarga dari Kampung Tok Saboh, Besut kerana cukai jalan tamat tempoh sejak 2013 ditahan Dalam Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2023, di Gong Badak. FOTO ZAID SALIM
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cukai-jalan-metrotv |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|