View: 427|Reply: 0
|
[Johor]
Derita kerja 'RM8,000 sebulan' di Dubai
[Copy link]
|
|
JECK Seng (kanan) bersama tiga mangsa tipu kerja di Dubai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Pontian: Kegembiraan tiga sahabat baik termasuk seorang wanita yang mendapat tawaran kerja bergaji lumayan RM8,000 sebulan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE), berakhir derita apabila mereka ditipu sindiket penipuan pekerjaan.
Lebih menyedihkan, mereka dikurung di banglo mewah di Dubai, selama lebih setahun dengan pasport serta telefon bimbit disimpan sindiket berkenaan.
Mangsa, yang mahu dikenali sebagai Jenny, 36, berkata, mereka mula tertarik dengan tawaran kerja bergaji lumayan itu selepas seorang rakan baiknya Jason, 25, melihat iklan pencarian pekerjaan itu di aplikasi Telegram.
Katanya, sindiket terbabit yang mendakwa agensi pekerjaan berdaftar menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji lumayan RM8,000 sebulan selain komisen empat peratus setiap bulan.
"Ketika itu negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memang sukar nak dapatkan kerja. Apabila rakan baik tunjukkan tawaran kerja sebagai 'customer service officer' dengan gaji RM8,000 saya dan seorang lagi rakan, Kelvin, 21, sangat teruja.
"Kami tidak fikir lama sebelum terus membuat keputusan untuk terima tawaran kerja di Dubai. Semua tiket dan pergerakan pula diuruskan syarikat itu menyebabkan kami yakin, sebelum kami berangkat ke sana pada Oktober 2021 menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA).
"Namun kami mula mengesyaki terjerat dengan janji palsu sindiket pekerjaan apabila dipaksa bekerja untuk syarikat kasino secara dalam talian malah kami hanya dibayar gaji sebanyak dua kali iaitu RM2,000 dan RM1,000 pada dua bulan pertama, sebelum tidak diberikan gaji lagi selepas itu," katanya pada sidang media di Pekan Nenas, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Dalam pada itu Jenny berkata, bukan sahaja gaji tidak dibayar, malah mereka 'dikurung' di dalam banglo mewah berhampiran Dubai bersama kira-kira 20 mangsa lain termasuk rakyat Taiwan, dan China.
Katanya, semua mangsa yang terjerat juga terpaksa hidup dalam sengsara apabila tidak dapat berhubung dengan keluarga di Malaysia kerana semua alat komunikasi serta pasport dirampas ahli sindiket.
"Hampir setahun lebih kami dikurung dengan dikawal lebih tiga penjaga yang sentiasa mengancam keselamatan selain dikerah menjadi pegawai khidmat pelanggan kasino atau perjudian dalam talian.
"Kami juga hanya diberi makan dua kali sehari iaitu bubur atau roti pada sebelah pagi dan nasi untuk makan malam. Kami juga langsung tidak dibenarkan keluar dari banglo yang menjadi markas tempat kerja serta tempat tinggal sepanjang berada di sana," katanya.
Sementara itu, Kelvin berkata, mereka bertiga mendapat kesempatan melarikan diri pada 25 Disember lalu sebelum mendapatkan bantuan di Kedutaan Malaysia di Dubai.
Katanya, ketika cuti Krismas itu kesemua mangsa dibenarkan keluar dari markas sindiket berkenaan untuk bersiar-siar di kawasan berhampiran kediaman buat kali pertama, namun mereka bertiga memilih untuk terus berada dalam kediaman itu.
"Masa itu, semua ahli sindiket serta mangsa lain tiada di rumah, menyebabkan kami keluar melarikan diri dengan menaiki teksi untuk mendapatkan bantuan di kedutaan sebelum berjaya diselamatkan dan dibantu balik ke Malaysia pada 16 Januari lalu.
"Kami bersyukur dapat melepaskan diri selepas lebih setahun dan dapat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Malaysia ," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes penipuan sindiket pekerjaan itu daripada ahli keluarga yang meminta bantuan pada 29 Disember tahun lalu.
Jeck Seng berkata, susulan itu, pihaknya berhubung dengan pihak Kementerian Luar serta Kedutaan Malaysia di Dubai bagi membawa pulang tiga mangsa dengan selamat.
"Saya berharap rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja lumayan terutamanya membabitkan kerja di luar negara kerana ia biasanya penipuan dilakukan sindiket haram," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 00-sebulan-di-dubai |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|