|
Kuala Nerus: "Ketika kejadian saya berada di Kampung Baru, Seberang Takir melihat rumah terbakar di kampung berkenaan sebelum rakan telefon memberitahu ada asap dalam bengkel saya," kata Mohd Fadhil Razali, 32, dari Kampung Ulu Takir, di sini.
Dia yang panik kemudian bergegas ke bengkelnya di Kampung Batin, di sini, sebelum terkedu melihat api marak membakar bengkel membaiki dan mengecat kenderaan miliknya yang diusahakan bersama abang, Mohd Adha, 46, 9.30 malam tadi.
Susulan kejadian itu, semua barangan dalam bengkel seperti enjin kereta, lori dan bot milik pelanggan musnah termasuk empat kenderaan dalam bengkel berkenaan dengan kerugian dianggarkan lebih RM100,000.
"Dua kenderaan adalah milik pelanggan iaitu Nissan Navara dan Proton Waja untuk dicat manakala dua lagi adalah milik saya iaitu Proton Saga dan Perodua Kancil yang baharu dibeli daripada rakan dua minggu lalu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, bengkel berkenaan adalah pusaka peninggalan arwah bapa, Razali Mohamad, yang mengusahakannya sejak lebih 40 tahun lalu sebelum sebelum meninggal dunia tiga tahun lalu.
Mohd Fadhil berkata, sebelum kejadian, dia keluar dari bengkelnya dan pulang ke rumah mengambil telefon bimbit pada 8 malam.
Katanya, dia sepatutnya kembali semula ke bengkel pada 8.30 malam tetapi membuat keputusan untuk ke Kampung Baru, Seberang Takir melihat kebakaran rumah penduduk di kampung berkenaan.
"Ketika sedang melihat rumah terbakar, saya tidak menyangka pada masa sama bengkel saya juga terbakar," katanya.
Sementara, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, bengkel itu musnah 100 peratus.
Beliau berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
MOHD Fadhil menyimbah air bagi memadamkan sisa kebakaran bengkel membaiki dan mengecat kereta miliknya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Batin. FOTO Zaid Salim
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ndiri-juga-terbakar |
|