|
LIPIS: Tidak sampai 24 jam, seorang pejalan kaki pula maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 19, Jalan Lipis – Merapoh di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata dalam kejadian jam 6.50 pagi tadi, pembantu makmal, Muhammad Fadly Riduan, 41, yang beralamat di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor, mati di lokasi.
Beliau berkata, siasatan dapati, pemandu kereta Proton Saga yang dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis, sudah memperlahankan kenderaannya ketika tiba di lokasi selepas melihat seorang lelaki hendak melintas dari kiri ke kanan jalan.
"Pemandu berusia 38 tahun itu telah memperlahankan keretanya kerana melihat seorang lelaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
"Secara tiba-tiba, lelaki terbabit berpatah balik ke arah lokasi menyebabkan pemandu (Proton Saga) cuba mengelak ke kiri namun terlanggar mangsa," katanya.
Azli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
"Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian si mati iaitu melintas jalan tanpa kecemasan.
"Lokasi kemalangan adalah di kawasan jalan lurus, keadaan jalan berturap serta basah, tiada bahu jalan. Sistem jalan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah putus-putus. Keadaan cuaca basah akibat hujan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, " katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... aut-dirempuh-kereta |
|