|
Ibu pernah bantah Cakra menyanyi
KUALA LUMPUR: Vokalis popular Indonesia, Cakra Khan mengaku ibunya, Entik Trisuyatmi pernah membantah minatnya mendalami bidang nyanyian, suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, Cakra atau nama sebenar, Cakra Konta Paryaman berkata, berkat hasil usaha keras yang sering ditunjukkan, ibunya mula menerima malah menjadi peminat nombor satu.
"Ibu antara yang pertama kali protes sewaktu saya mula menyanyi. Teringat ketika dahulu, ibu sering memarahi ketika saya banyak menyanyi di kamar mandi.
"Namun, saya banyak belajar menyanyi dan ibu mula menerima hingga menjadi penyokong tegar anaknya ini," katanya pada Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini, kelmarin.
Pada masa sama, penyanyi berusia 31 tahun yang popular dengan lagu Kekasih Bayangan itu meluahkan rasa syukur apabila ibunya turut hadir memberi sokongan pada konsert itu.
Cakra berkata, persembahan di sini menjadi konsert berskala besar yang pertama dihadiri ibunya.
Biarpun sukar mengawal emosi di saat terkenangkan arwah ayahnya, Hermana, yang meninggal dunia pada Ogos 2021, Cakra berjaya menghabiskan konsert dengan cemerlang.
"Ini pertama kali ibu hadir ke konsert saya sebesar ini. Kalau ada ibu, saya pasti tidak dapat kawal emosi ketika menjayakan konsert.
"Kebiasaannya ibu bersama bapa saya. Tapi, bila lihat dia bersendirian, saya tak boleh kawal emosi.
"Jadi, sebelum membawakan lagu Ayah pada konsert ini, saya dengar lebih 100 kali supaya dapat kawal emosi. Alhamdulillah, saya berjaya habiskan konsert ini," katanya.
Pada konsert berkenaan, Cakra mendendangkan lebih 20 lagu yang meninggalkan memori bermakna buat kira-kira 3,000 peminat yang hadir pada malam itu.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... ntah-cakra-menyanyi
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|