|
HANIZAM (kanan) bapa kepada remaja yang dikhuatiri lemas di pantai Batu Layar Hani Suefyan Hanizam, 16. FOTO Izz laily Hussein
Kota Tinggi: "Saya diberitahu dia cuba selamatkan rakannya, tetapi dia pun turut lemas," kata Hanizam Hashim, bapa kepada Hani Suefyan Hanizam, 16, yang dikhuatiri lemas selepas hilang di pantai Batu Layar di sini semalam.
Menurut Hanizam, 47, dia difahamkan anak sulung daripada tiga beradik itu cuba menyelamatkan nyawa rakannya, sebelum turut sama lemas.
Katanya, dia berada di Muadzam Shah, Pahang kerana bekerja dan mendapat maklumat berkenaan kejadian menimpa anaknya itu kira-kira jam 4 petang.
"Sebaik mendapat berita, saya bergegas pulang dan terus ke pantai sebelum tiba kira-kira jam 8 malam. Saya memang tunggu di sini mana tahu anak saya 'balik' sementara keluarga yang lain menumpang di rumah saudara di Felda Air Tawar 1.
"Saya dimaklumkan oleh pengunjung di sini yang melihat kejadian itu katanya anak saya mandi bersama lima rakan lain dan seorang daripada mereka sudah naik ke darat kerana alami kekejangan.
"Tidak lama kemudian mereka melihat anak saya cuba menyelamatkan rakannya, Mohamad Imran yang lemas sebelum dia turut ditarik ombak dan hilang," katanya ketika ditemui di pantai Batu Layar di sini, hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada minggu lalu sebelum pergi bekerja.
"Saya balik pada hujung minggu. Jadi, memang jarang jumpa dia, kali terakhir jumpa pada minggu lalu tetapi dia seperti biasa sahaja tak ada tunjuk apa-apa perubahan.
"Saya juga dimaklumkan ibunya, dia meminta izin untuk ke Mawai, namun tak tahu pula boleh sampai ke pantai ini," katanya yang bekerja sebagai pengurus ladang.
Semalam, media melaporkan dalam kejadian jam 1.26 petang itu, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, dilaporkan mati lemas manakala Hani Suefyan Hanizam, 16, hilang.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, setakat jam 12.30 tengah hari tadi, pasukan SAR masih belum menemui sebarang petunjuk akan penemuan mangsa.
Beliau berkata, keadaan cuaca mendung sepanjang operasi dijalankan dan keadaan laut bergelora.
"Operasi SAR disambung semula pagi ini pada jam 9 pagi dengan radius pencarian di darat sehingga dua kilometer sepanjang pantai dan 0.5 hingga dua batu dari persisiran pantai," katanya ketika dihubungi, hari ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... amatkan-rakan-lemas |
|