DISEBABKAN naik angin dengan seorang peminat yang terlampau lama merakam gambar secara ‘wefie’, Ranbir Kapoor gagal mengawal perasaan sehingga bertindak mencampakkan telefon bimbit individu tersebut.
Kejadian tersebut berlaku ketika sekumpulan paparazi mengekori aktor itu beramai-ramai dan secara tiba-tiba seorang lelaki dipercayai peminatnya mengajak Ranbir bergambar.
Begitupun, lelaki berkenaan mengambil masa lama dan bersikap santai dengan cubaan merakamkan beberapa gambar sehingga membuatkan suami kepada Alia Bhatt itu kurang sabar.
Dia kemudian dilihat mengambil telefon dari tangan lelaki itu dan terus mencampakkannya ke arah bertentangan.
Tindakan spontan yang dirakamkan paparazi tersebut tular dalam media sosial, namun ramai menganggap itu sebagai sebahagian kempen syarikat telefon.
Peminat lain turut menyokong tekaan mengenai kempen syarikat telekomunikasi kerana mereka percaya Ranbir tidak seganas itu.
Mereka percaya tidak mungkin pelakon itu sanggup bertindak sedemikian.