View: 2708|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
'Saya tertekan dan terdesak'
[Copy link]
|
|
ISHAK menunjukkan gambar isterinya sebelum terlantar lumpuh pada Mei lalu. FOTO Azrul Edham
Seremban: Dek terdesak dan tertekan, Ishak Abd Rahim, 43, pernah terfikir supaya anak bongsunya berhenti sekolah untuk menjaga seorang lagi anak berstatus orang kurang upaya (OKU) dan isteri yang terlantar akibat lumpuh supaya dia dapat keluar bekerja.
Sejak isterinya, Norfarahida Zainal, 43, lumpuh pada Mei lalu, Ishak terpaksa berhenti kerja kerana wanita itu memerlukan perhatian penuh, malah terpaksa mengambil alih tugas menguruskan anak OKU, Balqis Najwa Ishak, 19.
Ishak berkata, wang simpanan semakin susut memandangkan kos penjagaan isteri dan anak agak tinggi selain menanggung tiga lagi anak yang masih belajar.
Menurutnya, pada Mei lalu isterinya secara tiba-tiba mengadu sakit kepala dan suhu badan naik sebelum tidak sedarkan diri.
"Isteri dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). Pemeriksaan mendapati tekanan darahnya tinggi dengan bacaan lebih 200bp dan doktor memaklumkan berlaku pendarahan dalam otak akibat pembuluh darah pecah.
"Banyak darah beku dalam otak dan isteri terpaksa menjalani pembedahan. Hampir dua bulan isteri dirawat di wad ketika itu saya terpaksa berhenti kerja kerana menjaga Najwa.
"Isteri kini tidak mampu bercakap atau memberi respon selain badan sebelah kiri lumpuh. Dia juga hilang ingatan dan tidak mengenal ahli keluarga," katanya ketika ditemui di kediamannya di Senawang, di sini.
Bercerita mengenai Najwa, Ishak berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami lumpuh sejak kecil selain mengalami masalah tumbesaran yang mana tidak mampu bergerak dan perlu diuruskan sepenuh masa.
"Selama ini anak diuruskan isteri dan saya bekerja di kilang di Senawang. Sebelum ini saya banyak berkongsi masalah dengan isteri, namun kini terpaksa menanggung beban seorang diri dan tiada tempat mengadu.
"Disebabkan terlantar terlalu lama, isteri mengalami luka 'bedsore' di belakang badan. Saya terpaksa membeli ubat dan membersihkan lukanya setiap hari selain menguruskan makan minumnya.
"Dari subuh sampai ke malam saya bergilir-gilir menguruskan Najwa dan isteri. Anak bongsu pula masih bersekolah manakala anak pertama dan kedua kini sedang menuntut di universiti," katanya.
Menurutnya, kos rawatan dan penjagaan isteri mencecah RM2,000 sebulan membabitkan lampin pakai buang, ubat luka, susu khas dan beberapa keperluan lain.
"Isteri kini hanya bergantung kepada susu kerana tidak boleh makan makanan biasa. Susu disalurkan melalui tiub ke hidung manakala tekaknya ditebuk untuk pernafasan.
"Najwa juga memerlukan susu khas, namun kini terpaksa memberi makanan biasa kepadanya kerana tiada pendapatan lagi. Susu kepada isteri juga terpaksa dihadkan walaupun dia hanya bergantung kepada susu kerana wang simpanan makin susut," katanya.
Ishak berkata, dia tidak berpengalaman menjaga dan merawat pesakit lumpuh dan merayu kepada mana-mana pihak atau individu yang boleh membantunya memulihkan isterinya.
"Saya juga berbesar hati jika ada pihak yang boleh menawarkan kerja dari rumah kerana saya sangat memerlukan wang ketika ini. Saya kini berada dalam tersepit sehingga pernah terfikir supaya anak bongsu berusia 17 tahun berhenti sekolah supaya saya dapat pergi bekerja, " katanya.
Orang ramai yang mahu membantu Ishak boleh menghubunginya di talian 016-7682114.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rtekan-dan-terdesak |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|